Rabu, 8 Ogos 2012

Bajet 2013 banyak 'gula-gula' pilihan raya?

Muhamad Faizal,

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menjangkakan banyak gula-gula pilihan raya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013 hujung September ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bajet yang akan dibentang dalam suasana bahang pilihan raya ini sudah tentu bersifat mencari undi dari rakyat.

"Sudah pasti belanjawan kali ini sudah pasti lebih banyak gula-gula imbuhan diberikan dalam mencari undi serta penghargaan dari rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, dalam kegairahan Najib yang juga menteri kewangan mencari undi, bajet kali ini jangan sampai menambah beban negara yang sedia terbeban dengan hutang yang tinggi.

"Dengan hutang negara yang semakin teruk ini, maka kami dari Pakatan Rakyat tampil untuk memberi peringatan kepada Menteri Kewangan.

"Malah Najib perlu fikir kedudukan negara jangan sampai mengorbankan kepentingan jangka panjang yang boleh menyebabkan kestabilan ekonomi tergugat," katanya.

Tiada ulasan: