Sabtu, 18 Ogos 2012

AMANAH MEDIUM SUARAKAN MASALAH RAKYAT

SABAH KINI





SEJADAH..........kelihatan Bumburing (kedua dari kiri) sedang menyampaikan sumbangan AMANAH berbentuk sejadah kepada Pengerusi Masjid Baitulmakmur Kampung Kota Tuaran, Haji Adis Enjih.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

TUARAN :Kewujudan Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH) di negeri ini sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sememangnya boleh menjadi satu lagi medium terbaik kepada rakyat berbilang kaum untuk memanjangkan permasalahan mereka yang memerlukan tindakan dan penyelesaian dari pihak yang berwajib.

Perjuangan untuk membela nasib rakyat tidak semata-mata tertumpu kepada ahli-ahli politik semata-mata, malahan ia juga boleh disuarakan melalui badan sukarela yang lebih bersifat tidak berat sebelah.
Pengerusi AMANAH Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing, menyatakan kongkongan disiplin parti adalah satu kesukaran yang memeritkan seseorang ahli politik untuk menyuarakan permasalahan rakyat, sehingga kelantangan untuk menyuarakan kepentingan rakyat sering sahaja terbatas.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa anjuran AMANAH Ranting Sulaman yang telah diadakan pada Khamis lepas bertempat di kediaman Pengerusinya, Haji Ghulabdin Enjih di kampung Kota Tuaran, dekat sini.

"Sehubungan itu saya mengharap akan lebih ramai rakyat untuk melibatkan diri menyertai badan NGO seperti AMANAH kerana menerusinya kebebasan bersuara selantangnya dapat dilakukan dan sudah tentu kepentingan rakyat lebih mudah dapat disampaikan kepada pihak yang berwajib," kata Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran.

bercakap tentang Majlis berbuka puasa anjuran AMANAH Ranting Sulaman itu, Bumburing menekankan ia harus dijadikan sebagai platform untuk mengukuhkan serta merapatkan lagi hubungan persaudaraan dikalangan penduduk pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi AMANAH Kawasan Tuaran, Datuk Monggoh Orow yang juga Bekas Ahli Parlimen Tuaran; Ketua Penerangan AMANAH Kawasan Tuaran, Haji Awang Puasa Jambul; Ahli Majlis Daerah Tuaran, Denis Gimpah; Bendahari AMANAH Kawasan Sulaman, Dominic Ombilod Onul; Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Haji Ansari Abdullah dan Ketua Penerangan AMANAH Sulaman, Rabin Muatib.

Terdahulu Pengerusi AMANAH Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih dalam ucapannya menganggap keperhatinan dan permufakatan yang diaplikasikan oleh ahli-ahli rakyat di kawasan ini sewajarnya mendapat penghargaan kerana kejayaan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama ramai pemimpin masyarakat setempat.

Haji Ghulabdin berkata kegiatan murni ini amat penting dan sewajarnya program ini akan menjadi acara tahunan AMANAH di Sulaman, kerana jelas melaluinya dapat meningkatkan keakraban hubungan silaturrahim di kalangan anggota jawatankuasa penganjur dengan semua penduduk yang hadir.

"Kita sesungguhnya berbangga penganjuran program ini telah menjadi medan untuk menyalurkan sumbangan kepada mana-mana pihak yang memerlukannya seperti menumbangkan kelengkapan dan kemudahan kepada sesebuah masjid yang ada di sekitar kawasan ini, "kata Haji Ghulabdin yang juga Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN).

Turut diadakan sempena majlis itu ialah penyerahan sumbangan berbentuk sejadah kepada Masjid Baitulmakmur Kampung Kota Tuaran yang disempurnakan oleh Bumburing dan diterima oleh Pengerusi Masjid berkenaan, Haji Adis Enjih.

Tiada ulasan: