Rabu, 24 Ogos 2011

Wisma Putra lancar tabung bantu mangsa kemarau Somalia

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah menggerakkan Tabung Bencana Kementerian Luar bagi mengutip sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada mangsa krisis kemarau di Somalia.

Dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online hari ini, Wisma Putra berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan krisis kemarau di timur laut Afrika telah mencapai tahap yang runcing serta menjejaskan kehidupan masyarakat di sana.

Krisis kemarau yang berlarutan sedekad lamanya dan paling buruk dalam tempoh 60 tahun ini telah mengakibatkan kematian puluhan ribu warga Somalia dengan ratusan ribu lagi terdedah kepada ancaman kebuluran yang sangat teruk.

“Jika krisis ini tidak ditangani dari sekarang, ia dikhuatiri boleh merebak ke kawasan lain di timur laut Afrika,” kata kenyataan itu.

PBB turut merayu bantuan antarabangsa agar menghulur bantuan kewangan kerana sebanyak RM3.6 bilion lagi diperlukan bagi bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa di kawasan yang terlibat.

Wisma Putra berkata kerajaan mengalu-alukan penglibatan dan penyertaan orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa.

“Usaha murni ini menggambarkan keprihatinan rakyat Malaysia membantu warga sejagat yang memerlukan bantuan bagi mengharungi krisis ini tanpa mengira batasan sempadan,” kata kenyataan itu.

Sumbangan boleh disalurkan melalui cek ke Kementerian Luar Negeri atas nama “Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri” dan dialamatkan kepada:

Ketua Akauntan, Kementerian Luar Negeri, Tingkat 2, Bangunan WP2 No. 1, Jalan Wisma Putra, 62602 Putrajaya atau boleh menghubungi talian 03-88874251 atau 03-88892924.

Sumbangan secara tunai pula boleh dihantar terus di dalam sampul surat ke kaunter khas bersebelahan Seksyen Konsular di Wisma Putra atau ke Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di Jalan Wisma Putra.

Penyumbang layak dipertimbangkan untuk pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan resit rasmi akan dikeluarkan.

Tiada ulasan: