Khamis, 25 Ogos 2011

Warga emas terima peruntukan terbesar RM455 juta

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA - Lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) akan disalurkan untuk membantu golongan warga emas.

Daripada kira-kira 500,000 penerima bantuan yang disasarkan, warga emas menerima peruntukan terbesar iaitu RM455 juta diikuti orang kurang upaya (RM332 juta), program-program kemasyarakatan komuniti (RM303 juta), kanak-kanak (RM290 juta) dan balu polis dan tentera (RM4.1 juta).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya akan memberi bantuan secara berterusan untuk memastikan kumpulan sasaran tersebut keluar daripada kemelut kesusahan.

''Mereka yang memerlukan akan diberi bantuan sara hidup antara RM100 hingga RM450 setiap bulan, jumlah ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Kar1sma yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Di bawah Kar1sma, pelbagai perkhidmatan seperti bantuan kewangan bulanan, pusat jagaan harian, program ziarah dan bantu, insentif OKU produktif, latihan kepada ibu tunggal, pemeriksaan kesihatan dan mamogram serta pusat aktiviti kanak-kanak ditawarkan kepada kumpulan sasaran.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, kementeriannya memandang berat soal pengagihan bantuan sara hidup secara tepat kepada semua kumpulan sasaran.

''Pengagihan bantuan yang tepat waktunya kepada semua kumpulan sasar turut menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang baru Hadzir Md. Zain," katanya.

Tiada ulasan: