KUALA LUMPUR : Tengkorak dan rangka manusia dipercayai seorang pemburu ditemui di sebuah kawasan kebun terbiar di Kampung Bumi Hijau, Kundang, Rawang di sini, semalam.
Rangka manusia itu, ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira 6.30 petang semalam dan dipercayai telah berada di kawasan tersebut kira-kira enam bulan berdasarkan siasatan awal polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata identiti mangsa masih tidak diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada rangka itu.
Mangsa berkemungkinan seorang lelaki berdasarkan penemuan baju dan seluar serta sepasang kasut berwarna hitam berhampiran rangka tersebut, katanya.
Menurutnya lagi, polis tidak menolak kemungkinan mangsa seorang pemburu kerana kawasan sekitar di mana rangka dan tengkorak itu ditemui terkenal dengan kawasan memburu.
"Mangsa mungkin pengsan di situ tanpa disedari oleh orang ramai dan kemungkinan binatang buas yang telah memakan dagingnya,” katanya ketika dipetik Bernama.
Abdul Rahim berkata, polis tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa di tempat kejadian dan menurutnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Namun, polis masih menjalankan siasatan untuk mencari punca sebenar kematian memandangkan lokasi kejadian itu juga turut dikenali sebagai kawasan penagih dadah, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan