KUALA LUMPUR: Penganjuran sambutan hari kemerdekaan sebaik-baiknya dikendalikan oleh badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik atau badan-badan sukarelawan, dan tidak hanya dilaksanakan oleh kerajaan semata-mata, kata Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, ini kerana sambutan hari kemerdekaan adalah satu acara di mana semua pihak tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik berhimpun meraikan sambutan itu.
"Malangnya di tanah air kita, tidak semua berpendapat sedemikian. Mereka lebih membenarkan program-program merdeka ini dan nasionalisme ini dikendalikan oleh kerajaan," katanya ketika ditemuramah Radio 24, di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rais berkata, sambutan kemerdekaan tahun ini akan memberi penekanan kepada acara pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis, pejabat dan rumah berbanding acara lain.
"Dulu kita beri bendera untuk kereta dan sebagainya tapi tahun ini kita tidak buat begitu kita terus landaskan pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis dan rumah-rumah," katanya.
Mengulas mengenai kemunculan media-media baru yang semakin mendapat tempat di hati pengguna, Rais berkata, ia jelas menunjukkan bahawa sambutan terhadap media cetak semakin berkurangan.
Bagaimanapun beliau berkata, ia hanya sementara memandangkan trend semasa yang melihat pengguna gemar mendapatkan maklumat menerusi media baru akan berubah kepada cara tradisional di mana media cetak akan kembali mendapat perhatian.
"Dunia media pada hari ini di seluruh dunia sedang melalui satu zaman transisi dengan lain perkataan pelbagai media sedang diuji keberkesanannya, penggunaannya dan tahap-tahap yang boleh diterima sebagai penjalin kemanusiaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan