Rabu, 3 Ogos 2011

PR Tak Akan Contohi Umno-BN - Anwar

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk mengambil pendekatan sama dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam cadangan Belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan gagasan itu Oktober nanti.

Ketua Umum yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tawaran RM100 ribu kepada setiap ahli parlimen Umno-BN menjelang pilihan raya umum akan datang tidak akan mengubah pendirian rakyat dalam menuntut sistem yang lebih telus.

"Setakat ini kita akan terus dengan kerja kita. Kita tidak akan terbawa-bawa dengan pendekatan Umno-BN. Mereka sudah belanja kepada ahli parlimen berjuta, RM100 ribu tidak akan mengubah sikap pengundi kerana mood sekarang adalah untuk merubah sistem yang rasuah," kata beliau selepas mempengerusikan rundingan ekonomi Buku Jingga di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam.

Mesyuarat yang turut disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, penganalisis ekonomi dan akademik, sektor swasta, wakil kesatuan pekerja dan persatuan pengguna itu tadi memberi jaminan bahawa belanjawan yang dicadangkan itu nanti mampu meringankan beban rakyat.

Antara lain jelas Anwar, belanjawan yang akan dibentangkan itu secara khusus akan meningkatkan keupayaan untuk mengasingkan diri dengan sistem monopoli oleh kerajaan Umno-BN.

"Fokus kita lebih banyak kepada dasar nasional kerana ianya Belanjawan 2012 dan belanjawan negara. Secara spesifiknya kita memberitahu bagaimana kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada sistem monopoli yang ada sekarang," ujar beliau lagi.

Malah beliau menyifatkan usaha tersebut mampu memberi ruang bagi rakyat untuk menilai keberkesanan pendekatan ekonomi yang akan diunjurkan Pakatan Rakyat berbanding kerajaan Umno-BN.

Menyentuh isu subsidi, Anwar berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai pemberian subsidi yang seharusnya diberikan secara langsung kepada rakyat dan bukan diberikan kepada syarikat-syarikat berkepentingan.

Beliau mengambil contoh mekanisma yang disarankan di dalam Buku Jingga mengenai pemberian subsidi kepada konsesi lebuhraya yang dengan sendirinya akan mengurangkan kos pengguna jika ianya diselenggara dengan betul.

Tiada ulasan: