Sabtu, 6 Ogos 2011

PR: PAS Selangor mahu Najib jawab

Hazayani Zakaria

SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka bahawa Penduduk Tetap (PR) didaftarkan sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan itu dibuat atas nama Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Selangor, Mohd Asri Safar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, dekat sini petang tadi.

Asri berkata, pada 2 Ogos lalu, beliau memeriksa 1,108 nama yang terdapat dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) tersebut di dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati kesemua nama itu berstatus PR.

Apa yang menjadi kebimbangan, katanya ada usaha pihak tertentu mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pemegang kad pengenalan merah ini bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Adalah amat membimbangkan usaha haram ini bukan sahaja akan menjejaskan proses pilihan raya negara kita malah turut menjejaskan integriti kad pengenalan serta keselamatan negara," katanya.

Justeru beliau mahu pihak polis melakukan siasatan secara telus berhubung perkara itu.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat siapa yang menjadi dalang di sebalik perkara ini.

"PAS Selangor menyatakan bahawa ini isu keselamatan negara yang mesti dijawab oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kepada rakyat yang mula bimbang dengan keadaan ini," katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Samsudin.

Tiada ulasan: