Isnin, 8 Ogos 2011

PR: Pakatan anggap sidang parlimen paling baik

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak bagi meminta Perdana Menteri itu memanggil satu sidang khas parlimen berkaitan isu penduduk tetap (PR) menjadi warganegara segera dan berdaftar sebagai pemilih.

Surat tersebut diserahkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub kepada Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang mewakili perdana menteri di parlimen hari ini.

Turut serta pada penyerahan itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Mohd Hata Ramli (PAS-Kuala Kerai), Khalid Samad (PAS-Shah Alam), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Tony Pua (DAP-PJ Utara).

Pada sidang media sebelum itu, Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata ia perlu diadakan segera kerana isu itu bukan sahaja membabitkan isu manipulasi pilihan raya, malah lebih besar adalah mengancam keselamatan negara.

"Kami rasa tiada tempat lain bagi membawa isu ini melainkan dibahas di parlimen.

"Jadi kami besepakat atas nama ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta sidang khas parlimen diadakan dalam masa terdekat.

"Kita telah kumpul semua bukti dan akan mendedahkannya sekiranya parlimen bersidang," katanya.

Sebelum ini beberapa pendedahan dibuat pelbagai pihak mendakwa wujudnya penduduk tetap didaftar sebagai pemilih yang disemak melalui web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara yang ditemui termasuklah individu bernama Mismah yang berstatus penduduk tetap namun berdaftar sebagai pungundi di Dun Ijok.

Selepas beberapa jam didedahkan oleh media, status Mismah bagaimanapun bertukar menjadi warganegara sekaligus membolehkan beliau mempunyai hak mengundi.

Pendedahan itu juga telah membawa kepada penemuan lebih 1,108 lagi kes serupa di Selangor dan 52 kes di Titiwangsa.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh SPR dan juga JPN yang mendakwa Mismah sememangnya sudah menjadi warganegara sejak Disember tahun lalu.

Menurut Salahudin lagi, sehingga kini masih terdapat kes warga PR didaftar sebagai pemilih dalam daftar pemilih SPR.

"Kita minta sidang parlimen, jangan sampai nanti kita adakan Bersih 3. Kita anggap sidang parlimen adalah paling baik.

Sementara itu, Nazri pada sidang medianya selepas itu tidak mahu mengulas lanjut perkara itu dan hanya memberitahu akan menyerahkan surat tersebut kepada Najib pada majlis berbuka puasa di kediaman perdana menteri di Putrajaya petang ini.

"Saya akan bawa kepada PMlah, setelah bincang mungkin kita boleh respons. Saya tak mahu nak mendahului PM dalam isu ini.

"Pada saya kalau ada bukti bawalah kepada SPR untuk disiasat," katanya.

Tiada ulasan: