Rabu, 17 Ogos 2011

Permohonan HRP jadi parti politik ditolak

BERNAMA

Hakim Datuk Rohana Yusuf yang membuat keputusan itu di kamarnya turut memerintahkan Uthayakumar untuk membayar kos RM2,500 kepada ketiga-tiga responden.



KUALA LUMPUR: Parti Hak Asasi Manusia (HRP) gagal dalam usahanya untuk menjadi sebuah parti politik berdaftar apabila
permohonannya ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ekoran keputusan itu Mahkamah Tinggi hari ini mengenepikan permohonan seorang peguam, P Uthayakumar untuk membuat semakan kehakiman terhadap ROS, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan ROS Wilayah Persekutuan, bagi meluluskan dan mendaftar HRP sebagai sebuah parti politik.

Hakim Datuk Rohana Yusuf yang membuat keputusan itu di kamarnya turut memerintahkan Uthayakumar untuk membayar kos RM2,500 kepada ketiga-tiga responden.

Uthayakumar yang mewakili dirinya memberitahu media bahawa mahkamah hari ini dijadualkan mendengar permohonan semakan kehakiman beliau, namun mahkamah menolak permohonan itu kerana ia menjadi akademik ekoran keputusan ROS itu.

Beliau berkata ROS dalam surat bertarikh 4 Ogos memberi dua sebab penolakan itu, iaitu ia mendapati HRP tidak diurus dengan baik dan pertubuhan itu gagal mengemukakan perlembagaannya, bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan ROS.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu Uthayakumar memohon perintah ‘mandamus’ terhadap responden untuk melulus dan mendaftar HRP selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966.

Uthayakumar mendakwa bahawa beliau memohon supaya parti itu didaftarkan sejak 2000 lagi semasa ia menggunakan nama Parti Reformasi Insan Malaysia, namun beliau tidak dapat sebarang jawapan dari mereka.

Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajudin mewakili ketiga-tiga responden.


Tiada ulasan: