Jumaat, 26 Ogos 2011

Perluas undi pos luar negara, SPR main wayang – Fuziah

Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh membidas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof, yang mahu memperluaskan sistem undi pos untuk warga Malaysia di luar negara.

Ahli Parlimen Kuantan itu menyifatkan SPR sengaja main wayang dan tidak fokus kepada isu sebenar yang terlebih dahulu perlu diperbetulkan seperti pembersihan daftar pemilih, pengunaan dakwat kekal serta reformasi undi pos sedia ada.

“SPR ini benda yang lebih penting yang patut dibuat dia tak buat, yang tak patut buat dia nak buat. Penggunaan dakwat kekal contohnya, sudah tidak memerlukan pindaan dan hanya perlu laksanakan apa yang dituntut rakyat.

“SPR janganlah nak main wayang dan akhirnya apa yang dituntut tak dilaksanakan,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Pusat.

Beliau mengulas laporan media dalam talian hari ini yang memetik kenyataan Aziz yang mahukan proses itu dilakukan pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur , Aziz berkata, SPR kini dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian.

Perubahan dalam peraturan pilihan raya itu katanya akan membolehkan undi pos diperluaskan untuk penjawat awam dan pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka di luar negara.

Menurut Fuziah, beliau merujuk pendedahan empat bekas anggota tentera baru-baru ini yang mengaku telah menyelewengkan undi pos bagi pihak ribuan anggota tentera dan isteri mereka.

“Undi pos yang dilihat punyai risiko manipulasi yang tinggi, boleh disalahgunakan malah telah dibuktikan dengan pengakuan oleh empat bekas anggota tentera yang mengaku memangkah ribuan undi pos,” kata Fuziah.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat pula berpendapat SPR masih berdegil untuk tidak memenuhi kehendak rakyat yang mahukan reformasi terhadap undi pos.

“Saya tak faham dengan SPR ni, rakyat mahukan reformasi undi pos tapi dia lagi nak tambahkan undi pos. Kita bukan tak buktikan yang undi pos boleh dimanipulasi,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Beliau mengeaskan sekali lagi bahawa undi pos tidak relevan kerana hanya yang betul-betul kritikal saja seperti anggota tentera yang bertugas di perbatasan sepatutnya dibenarkan melalui proses itu.

Mankala di luar negara, Pas mencadangkan supaya undi pos di kendalikan pihak kedutaan, namun sehingga kini tidak dipedulikan SPR.

“Malah janji SPR tentang ‘advance voting’ yang dikatakan Julai lepas tapi masih lagi tak nampak apa perkembangan,” katanya.

Tiada ulasan: