KUALA LUMPUR ─ Perkasa bersetuju dengan pendirian Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa perpecahan di kalangan orang Melayu wujud disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.
Bagaimanapun Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali menegaskan, perpecahan orang Melayu tidak berlaku, sebaliknya yang berpecah adalah pemimpin-pemimpin kaum itu.
Jelas beliau, perpecahan antara pemimpin Melayu itu berlaku disebabkan sikap mereka yang gemar menyalahkan antara satu sama lain selain turut menyebarkan fitnah.
“Saya fikir Melayu tidak berpecah sebenarnya, yang berpecah sebenarnya pemimpin-pemimpin Melayu... fitnah-memfintah antara pemimpin Melayu lebih jelas puncanya dari rasuah penyebab Melayu berpecah.
“Fitnah secara terang-terangan dapat jelas dibaca atau didengar di mana-mana saluran media atau ceramah. Kekayaan dan kuasa yang dikejar oleh pemimpin Melayu punca fitnah-memfitnah berlaku,” katanya.
Menurut Syed Hassan, Pakatan Rakyat juga tidak boleh memberi jaminan bahawa parti perikatan itu mampu membendung gejala rasuah yang turut melibatkan pegawai-pegawai kerajaan.
“Tapi tidak jamin rasuah tiada, rasuah sudah jadi budaya masyarakat Malaysia termasuk orang Islam sendiri, pegawai jabatan agama pun ada ditangkap kerana rasuah.
“Akhir sekali rasuah bukan hanya di kalangan pemimpin politik, yang lebih besar terlibat dengan rasuah adalah mereka yang diamanahkan melaksanakan tugas-tugas menjayakan dasar kerajaan dan negara,” katanya.
Jelas beliau, gejala tidak sihat dalam kalangan pegawai kerajaan boleh di atasi sekiranya agensi agama menyusun strategi untuk mencegah perkara itu.
“Jadi, jabatan agama Islam besar tugas mereka untuk menyusun strategi bagi memberi ceramah yang lebih berkesan isu fitnah dan rasuah.
“Di jabatan-jabatan kerajaan adakan siaran radio dalaman yang didengari oleh semua kakitangan yang sedang bekerja boleh mendengar sambil buat kerja, ceramah melalui kaset atau CD dari ulama-ulama yang tiada kepentingan politik untuk tajuk khas fitnah dan rasuah sekali pagi dan petang. Ini membolehkan mereka tidak mudah terpengaruh dengan mengikut nafsu jahat,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani berkata, perpecahan di kalangan Melayu berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.
Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
Bagaimanapun beberapa blog pro-Najib dan mesej-mesej menerusi Twitter mempersoalkan kenyataan terbuka beliau.
Syed Hassan menambah kedudukan orang Melayu akan lebih terancam sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Jelas beliau, orang Melayu bukan sahaja akan berpecah malah akan menjadi “minoriti dan pupus” jika negara dipimpin parti perikatan itu.
“Ada kebenaran kata Tan Sri Harussani itu.Tapi jika Pakatan memerintah bukan setakat Melayu berpecah malah boleh jadi bangsa Melayu menjadi minoriti dan akan pupus satu hari nanti bersama-sama pemimpin Melayu semua.
“Jika Melayu bersatu, juga jangan fikir tidak akan ada rasuah... pembangunan Islam dan Melayu lebih terjamin jika Melayu bersatu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan