KUALA LUMPUR : Peniaga Bazar Ramadan dinasihatkan agar menjual makanan mereka pada harga yang berpatutan bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kata Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe.
"Peniaga yang didapati cuba mengaut keuntungan berlebihan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan," katanya dipetik Bernama Online selepas memantau harga barangan serta juadah di Bazar Ramadan Taman Medan semalam.
Ditanya mengenai peningkatan harga juadah berbuka di sesetengah tempat, beliau berkata, ia mungkin disebabkan bahan yang digunakan adalah berbeza.
"Dalam hal ini, nilai tambahnya mungkin berbeza seperti ramuan dan rempah ratus yang digunakan...Kita akan sentiasa memantau dan pengguna juga harus menjadi mata dan telinga untuk kerajaan bagi mengawal kenaikan harga barang." katanya.
Sehubungan itu, Lian Hoe mengingatkan pengguna agar bijak merancang perbelanjaan serta membuat perbandingan harga, terutama ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan.
Menurut Lian Hoe, sepanjang Ramadan ini, belum terdapat sebarang aduan tentang kenaikan harga barang.
Bagaimanapun, Lian Hoe berkata, di Selangor, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sejumlah 145 kes telah diambil tindakan dengan nilai rampasan RM32,809.
Katanya, sepanjang bulan lepas, sebanyak 23 kes dikenakan tindakan dan nilai rampasan ialah RM3,244.40.
Mengenai ayam, beliau berkata bekalan untuk musim perayaan adalah mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan