Oleh: Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Penangguhan perbicaraan kes fitnah 2 sehingga 15 Ogos depan adalah bukti tindakan melambatkan perbicaraan bukan sengaja dilakukan peguam, sepertimana didakwa sebelum ini.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sewaktu mengulas permohonan pendakwa untuk menangguhkan kes itu, meskipun peguam mahu meneruskan perbicaraan esok.
Pendakwa Raya dalam permohononnya berkata mereka memerlukan masa untuk menguruskan kehadiran saksi-saksi yang diperintahkan mahkamah untuk hadir ditemubual oleh pihak peguam.
“Karpal Singh sudah mencadangkan kita sambung esok dengan dua pakar dari Australia sebagai saksi. Pendakwa raya mohon tangguh seminggu untuk memberi peluang saksi muncul di mahkamah.
“Dan kami menggesa mereka segera datang dan jangan melengah-lengahkan keputusan mahkamah,” kata Anwar ketika ditemuai di luar perkarangan mahkamah.
Anwar merujuk kenyataan bapa Mohd Saiful Bukhari Azlan, Azlan Md Lazim dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) yang menggesa agar kes Fitnah II dipercepatkan.
“Ada yang mengandaikan kita yang cuba melengah-lengahkan. Yang memohon penangguhan ini adalah pendakwa.
“Sementara itu saya harap semua yang diarah mahkamah untuk hadir termasuk Perdana Menteri dan isteri hadir dengan segera,” kata Anwar.
Peguam Anwar, Sankara Nair pula berkata tindakan penangguhan perbicaraan pada minggu depan menunjukkan keputusan itu tidak ditentukan oleh peguam bela.
“Seperti hari ini, ia merupakan keputusan hakim untuk menangguhkan mahkamah.
“Hakim sudah meletakkan beban (untuk membawa saksi) ke atas mereka (pendakwa raya). Jika mereka gagal, mereka perlu minta mahkamah tangguhkan lagi,” kata Sankara.
Sankara menyifatkan tindakan menggesa perbicaraan kes Fitnah II dipercepatkan sebagai satu bentuk gangguan ke atas perjalanan perbicaraan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa menghina mahkamah.
“Mereka tidak boleh mengganggu proses perbicaraan. Ini merupakan satu penghinaan terhadap hakim dan juga mahkamah.
“Jika ia berlaku lagi, kita terpaksa minta mahkamah mengisytiharkannya sebagai menghina mahkamah,” kata Sankara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan