KUALA LUMPUR: Hasrat Pakatan Rakyat meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, disambut baik kalangan pemandu kenderaan komersil itu.
Keadilandaily membuat tinjauan di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapat reaksi mereka dan mendapati rata-ratanya mengharapkan nasib mereka terbela sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13 kelak.
Saravanan A/L R.Sevaraju 43, ketika ditemui menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan kadar sewa yang dikenakan sesebuah syarikat teksi sehingga mencapai RM50 sehari.
Ia katanya lebih merumitkan apabila kadar sewa mingguan gagal dijelaskan, menyebabkan kereta mereka ditarik balik oleh syarikat. “Kalau dah kena tarik, lagi susah saya nak cari duit. Lagipun kalau keluar dari pukul 6 pagi sampai 8 malam belum tentu saya dapat RM 100 ".
“Bawa teksi bukan dapat banyak untung kerana sekarang terlalu banyak persaingan dengan pengangkutan awam lagi, masa pun habis dalam jalan yang sesak,” katanya meluahkan kekecewaan.
Begitu juga dengan Nasarudin Mohd 50, menyokong baik tindakan Pakatan untuk menghentikan permit kepada syarikat bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi.
“Penindasan ini berlaku secara berleluasa jika permit terus diberi kepada syarikat. Lagipun
untuk mendapatkan permit ianya sangat terhad. Tiga tahun sekali kadang-kadang baru dibuka,” katanya.
Manakala Kathirevan A/L M.Sinathamby 38, juga agak emosional apabila memperkatakan status sebagai pemandu teksi yang sukar membuat permohonan pinjaman bank.
“Kita tiada penyata caruman kumpulan wang simpanan pekerja (EPF), sukar untuk kita mohon pembelian rumah dan kereta,” katanya.
Oleh itu beliau menyambut baik agar tuntutan untuk merangka skim insurans dan skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi.
Phoon Seet Wah yang telah lebih 10 tahun memandu teksi pula berkata masalah harga barang dan ekonomi yang tidak kukuh menyukarkannya untuk mencari rezeki.
“Saya berharap jika Pakatan memerintah, ekonomi dapat dikukuhkan sepenuhnya, perkara yang membela nasib rakyat perlu dilaksanakan,” katanya.
“Konsep ekonomi yang diamalkan oleh UMNO iaitu mementingkan kroni dan kebajikan VIP tidak boleh dibiarkan berleluasa lagi,”
Beliau yang ketika ditemui wartawan berkata tidak akan memberikan kerjasama sekiranya dari Utusan Malaysia, sempat bergurau sewaktu jurugambar ingin merakam gambarnya.
“Saya takkan kena ISA kan?” katanya dengan gelak kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan