Jumaat, 26 Ogos 2011

Pemandu akui tanah diambil alih tampung kos MRT


KUALA LUMPUR — Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengakui pentadbiran Najib perlu memperoleh dan membangunkan tanah-tanah di sepanjang laluan Transit Rapid Massa (MRT) bagi membolehkannya menampung kos projek berbilion ringgit itu.

Berdasarkan sepucuk surat yang dilihat oleh The Malaysian Insider, Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala memaklumkan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia, Tan Sri William Cheng, kerajaan menggunakan model rel danb hartanah kerana tidak dapat menampung kos projek membabitkan laluan Sungai Buloh dan Kajang melalui tambang semata-mata.

“Untuk kerajaan menguruskan projek itu dengan cekap dan secara mapan, pulangan daripada tambang tidak cukup untuk membiayai kos modal dan operasi rangkaian MRT,” kata Idris (gambar) dalam surat bertarikh 23 Ogos, yang ditulis sebagai respons kepada Cheng ekoran isu pengambilan tanah di Jalan Sultan.

“Menaikkan tambang bukan satu pilihan memandangkan kerajaan mahu bertindak secara tanggungjawab dengan menyediakan rakyat (kemudahan) pengangkutan mampu digunakan. Sebaliknya, kerajaan menggunakan pendekatan cekap ke arah model kewangan yang berkekalan bagi MRT menerusi model rel dan hartanah,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan sebuah unit Kementerian Kewangan - Dana Infra telah diwujudkan untuk mendapatkan dana bagi MRT, yang merupakan projek infrastruktur paling mahal dalam negara setakat ini, tetapi masih belum menjelaskan tentang maklumat pembiayaan.

Idris, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Hong Kong MTR Corporation telah berjaya melaksanakan model itu dalam rangkaian Rel Transit Massa (MTR), menambah “tiada satu cara untuk mendapatkan semula perbelanjaan membangunkan MRT” tanpa pendapatan daripada pembangunan hartanah dan ia hanya libatkan 35 peratus jumlah pendapatan.

Katanya, operator MRT Singapura, yang bergantung pada hasil tambang dengan sumbangan minimum daripada aktiviti komersial, dianggap sebagai kes terkecuali berbanding persekitaran normal.

Bagaimanapun katanya, Malaysia akan menggunakan versi model rel dan hartanah dengan melakukan sedikit pengambilalihan tanah.

“Kerajaan bukan hendak mendapatkan tanah untuk MRT Co., mahupun gunakan Akta Pengambilan Tanah untuk tujuan itu,” katanya merujuk kepada projek baru ini yang akan dijalankan pada 1 September ini.

Bagaimanapun Idris mendedahkan tanah di sepanjang laluan Sungai Buloh dan Kajang akan dimajukan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Institut Penyelidikan Getah Malaysia dan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), ia secara langsung akan mengimbangi perbelanjaan MRT.

Idris menambah, beliau akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memberi respons terhadap kebimbangan Cheng terhadap pengambilan tanah di Jalan Sultan, Chinatown kerana ia akan menjejaskan salah satu tumpuan pelancongan.

“Ini melibatkan perkara teknikal seperti reka bentuk penjajaran, pembangunan, stesen integrasi dan lain-lain dan mengapa tanah di atas perlu (sebagai mengikut Kanun Tanah Negara) walaupun terowong MRT terletak di bawah untuk memastikan keselamatan,” katanya.

“Pada tahap ini, mungkin kita juga melihat ia satu pembangunan positif dalam laluan MRT ke Chinatown yang mana ia akan memberi manfaat kepada komuniti Cina,” katanya.

Pemilik projek, Syarikat Prasarana Negara Bhd berkata, ia perlu mendapatkan tanah itu untuk membina terowang MRT yang akan melalui Jalan Sultan dan akan meroboh bangunan sedia ada demi menjaga keselamatan awam.

Prasarana dan SPAD juga berkata kerajaan perlu mendapatkan tanah itu sebelum mana-mana kerja-kerja pembinaan dijalankan mengikut Seksyen 44 Kanun Tanah Negara 1965 yang mengatakan pemilik harta bukan sahaja mempunyai hak ke atas hak masing-masing tetapi juga udara dan tanah di bawah.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menuduh pentadbiran Najib menggunakan projek itu untuk mendapatkan tanah-tanah perdana di ibu negara dengan menggunakan Kanun Tanah Negara yang dipinda pada 1990 bahawa perolehan tanah boleh dilakukan tanpa menjejaskan harta di permukaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Kamal berkata, minggu ini pihaknya akan mencari jalan penyelesaian dengan peniaga-peniaga di Chinatown.

Tiada ulasan: