Oleh: Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Pasukan peguam bela Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon mahkamah untuk mengeluarkan perintah sapina agar lima saksi penting hadir ke perbicaraan Fitnah II.
Lima saksi itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, dan pemilik kondominium Desa Damansara, Haji Hasanuddin Abdul Hamid.
Permohonan itu dibuat kerana empat daripada mereka, kecuali Hasanudin enggan hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan hanya akan hadir jika disapina. Manakala Hasanudin pula berkata akan hadir jika ditemani peguam.
Peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar berkata semua mereka perlu dipanggil ke mahkamah kerana mereka merupakan saksi penting perbicaraan kerana turut ditemubual oleh polis sewaktu siasatan kes Fitnah II berlangsung.
“Mereka saksi yang penting. Apabila pendakwa raya mengemukakan mereka sebagai saksi, maka pendakwa raya perlu membawa saksi tersebut ke mahkamah untuk menjadi saksi perbicaraan.
“Hakikat bahawa kenyataan ada diambil daripada mereka sewaktu siasatan, menunjukkan mereka saksi yang penting,” kata Karpal di dalam mahkamah.
Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Isnin 8 Ogos sebagai tarikh untuk beliau memberikan keputusan samada kelima-lima individu itu disapina ke mahkamah.
Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair yang ditemui di luar mahkamah pula berpendapat walaupun perintah sapina dikeluarkan, Najib dan Rosmah mungkin akan bertindak untuk mengenepikan perintah itu seperti dilakukan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam kes Fitnah pertama dahulu.
“Mereka boleh mohon untuk mengenepikan sapina itu. Dalam kes dahulu, Tun Mahathir, (Bekas Menteri Kewangan) Tun Daim (Zainuddin), dan (bekas Menteri Dalam Negeri)(Tan Sri) Megat Junid (Megat Ayub), kesemua mereka memohon untuk mengenepikan perintah sapina itu.
“Untuk Mahathir yang merupakan PM pada masa itu, Peguam Negara merayu (agar beliau tidak perlu ke mahkamah). Yang lain mereka ambil peguam sendiri. Mereka dakwa mereka bukan saksi penting jadi mahkamah perlu ketepikan perintah sapina itu,” kata Sankara.
Beliau turut membidas hujah Pendakwa Raya Datuk Mohd Yusoff Zainal Abiden yang berhujah saksi-saksi yang diminta itu tidak perlu hadir kerana mereka bukan saksi yang penting.
Menurutnya, kes sekarang sudah memasuki peringkat pembelaan maka keputusan samada saksi yang perlu hadir atau tidak itu terletak di tangan peguam bela.
“Bukan dia yang tentukan samada saksi-saksi itu penting atau pun tidak. Perdana Menteri dan isterinya saksi yang sangat penting. Mereka dah nyatakan tidak mahu hadir ke mahkamah kecuali mereka disapina.
“Ada surat daripada polis bertarikh 18 Julai daripada polis. Ada empat orang menyatakan tidak akan hadir kecuali jika mereka disapina. Najib, Rosmah, Rodwan dan Musa. Hasanuddin pula berkata beliau akan hadir jika ditemani peguamnya,” kata Sankara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan