Selasa, 23 Ogos 2011

Panel khas: Kami mahu jaminan konkrit Najib tiada PRU, kata PAS


KUALA LUMPUR — PAS menegaskan pihaknya tidak akan terpengaruh dengan “janji” Putrajaya berhubung jawatankuasa pilihan khas Parlimen pembaharuan pilihan raya, sebaliknya mahu jaminan konkrit bahawa tiada pilihan raya umum ke-13 selagi melaksanakan cadangan panel itu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) berkata perkara yang lebih penting bukan penubuhan jawatankuasa itu tetapi jaminan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tegas beliau: “PAS mahu satu jawapan konkrit dan jaminan daripada Najib bahawa pilihan raya umum ke-13 hanya akan diadakan dengan melaksanakan cadangan pembaharuan yang diputuskan jawatankuasa khas ini.

“Adakah tidak akan berlaku pembubaran (Parlimen) sebelum jawatankuasa ini selesai menjalankan tugas? Adakah cadangan pembaharuan ini akan dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13, jika tiada jaminan (daripada Najib) tiada makna jawatankuasa ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, sekiranya Najib tidak dapat memberikan jaminan itu PAS akan menolak untuk sertai jawatankuasa itu.

“Sama ada jawatankuasa khas ini dirangka daripada tuntutan Bersih 2.0 ia bukan perkara penting . . . yang penting Najib mesti berani mengatakan jawatankuasa ini akan laksanakan cadangan pembaharuan dan hasil jawatankuasa ini.

“Saya desak Najib beri satu pendirian tegas dan jaminan jawatankuasa ini akan berfungsi dan laksanakan cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Tambah Salahuddin, beliau juga berkata mana-mana cadangan yang tidak boleh dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13 kerana perlu meminda Perlembagaan Persekutuan “ia boleh dirunding.”

“Mana-mana yang boleh dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13 dilaksanakan dan mana-mana yang tidak boleh kerana libatkan pindaan kita boleh berunding,” tegasnya.

Jumaat lalu Najib berkata, pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

Bersih 2.0 juga menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Pakatan Rakyat akan memutuskan pendirian sama ada mahu menyertai jawatankuasa itu esok, dengan beberapa pemimpin utama berkata kemungkinan akan memulaukan jawatankuasa itu jika tidak memenuhi syarat perikatan tersebut.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya berkemungkinan akan menarik diri sekiranya tiada jaminan daripada Najib.

“Ada kemungkinan PAS dan Pakatan Rakyat akan menarik diri kerana Najib memberikan gambaran jawatankuasa ini tidak terikat dengan pilihan raya umum, kalau tak sedia nak buat pembaharuan buat apa nak tubuhkan jawatankuasa khas ini.

“Rakyat mahu kerajaan buat pembaharuan sebelum pilihan raya umum ke-13, isunya sekarang bukan jawatankuasa ini tapi jaminan kerajaan bahawa akan melaksanakan cadangan pembaharuan nanti,” katanya.

Jelas beliau, pendirian rasmi akan diputuskan esok dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: