Khamis, 25 Ogos 2011

NGO serah penyelewengan daftar pengundi pada SPRM

"Sebahagian nama itu dikesan didaftar sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi nama itu tidak ada dalam carian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



PETALING JAYA: Jingga 13, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan empat bulan lepas tampil memberi bukti terhadap penyelewengan senarai pemilih kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya tengah hari tadi.

Menurut kordinator Jingga 13, Faris Musa kira-kira 10 bukti diberikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut dan SPRM menyatakan akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pendedahan NGO itu.

“Sebahagian nama itu dikesan didaftar sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi nama itu tidak ada dalam carian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ini bermakna SPR telah mendaftarkan nama orang yang tiada dalam JPN,” katanya.

Faris bekas pemimpin muda PKR berkata, dua pengundi mempunyai nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu seorang wanita di Klang dan seorang lagi di Shah Alam.

“Saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan SPR membersihkan daftar senarai pemilih dengan segera.

“Najib nak tunggu bukti apa lagi kerana penyelewengan daftar pemilih telah berlaku di depan mata. Sudah tentu semakin hari semakin banyak penyelewengan daftar pemilih,” tegasnya.

Najib mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji dan menambahbaik sistem serta proses pilihanraya. Jawatankuasa Khas itu dianggotai Ahli Parlimen dari parti pemerintah dan pihak pembangkang.

Tiada ulasan: