Jumaat, 5 Ogos 2011

Muslim Aid edar daging beku ke Kedah

Oleh al_madd

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Kedah telah dipilih untuk menerima bantuan daging beku daripada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid).

Sejumlah 5,440 kilogram daging beku dari Australia yang disumbangkan diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim dan sekolah-sekolah agama di seluruh negeri Kedah.

Dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah bagi mengenal pasti penerima, agihan diadakan di Sekolah Integrasi Faizin, di sini.

Apabila tibanya bulan Ramadhan, Muslim Aid menyambutnya dengan pelbagai acara bagi membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Menurut wakil Muslim Aid, Hajah Habsah Majuni, saban tahun Muslim Aid menyambut kedatangan Ramadhan dengan pelbagai acara bagi membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

“Pada tahun ini, dengan memakai tema, Ahlan Ramadhan, Meraikan Asnaf, kami memulakan acara dengan menyerahkan bahan makanan mentah dalam bentuk daging lembu Australia kepada lima negeri asnaf di Malaysia.

“Pada tahun ini kami mengambil kira bencana alam yang telah melanda utara Malaysia pada tahun lalu, maka dari sebab itu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak telah dipilih, Kuala Lumpur dan Selangor juga agihan dilakukan,” ujar beliau.

Sementara itu, wakil Menteri Besar Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi mengucapkan terima kasih kepada Muslim Aid kerana telah memilih Kedah bagi tujuan tersebut.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Muslim Aid atas sumbangan ini, pada tahun lepas semasa berlaku banjir, Muslim Aid juga telah menghantar 24 ribu tin daging kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah,” ujar beliau.

Tiada ulasan: