Jumaat, 5 Ogos 2011

Menteri: Kita kena tahu punca sebenar PPM defisit RM350,000


KUALA LUMPUR — Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata punca sebenar mengakibatkan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) berhadapan dengan defisit bajet RM350,000, yang didakwa kali pertama, perlu diketahui sebelum membuat tanggapan tepat mengenai isu itu.

Sehubungan itu kata beliau, andaian wal bahawa wujudnya penyelewengan tidak adil kerana kemungkinan ada banyak sebab yang membawa kepada situasi tersebut.

“Ia bergantung (pada banyak sebab)... anda tidak boleh tuding (wujudnya penyelewengan),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga berkata kementeriannya belum menerima apa-apa laporan ataupun permintaan daripada kepimpinan PPM mengenai isu tersebut.

“Saya belum mendengar mengenai isu ini, kita tidak tahu apakah puncanya... adakah ia disebabkan oleh perbelanjaan yang keterlaluan ataupun disebabkan peruntukan (daripada kerajaan) yang semakin menurun sejak kebelakangan ini,” kata beliau sambil menambah, dana yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada PPM dan badan-badan bukan kerajaan kini menurun berbanding dulu.

Sejak tahun lalu kerajaan mengumumkan pemotongan peruntukan kewangan ekoran kedudukan kewangan negara semasa.

“Saya kena tengok sejauh mana serius masalah ini...,” kata beliau lagi yang turut mengatakan bahawa PPM sebenarnya secara langsung terletak di bawah Parlimen.

Bagaimanapun katanya, disebabkan kebanyakan ahlinya merupakan belia, maka Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil berat tentang isu berkaitan PPM.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya akan membantu jika ada permintaan daripada pengurusan PPM.

“Setakat ini perlu ada permintaan (daripada PPM),” katanya lagi.

Dalam kenyatan kepada The Malaysian Insider semalam, bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Datuk Dr Kamarudin Kachar meminta agar Putrajaya bercampur tangan ekoran pengakuan PPM bahawa ia berhadapan dengan defisit perbelanjaan sebanyak RM350,000 — dipercayai buat pertama kali wujud dalam pertubuhan beusia satu abad ini.

Dalam satu surat diedarkan kepada kepimpinan PPM seluruh negara baru-baru ini, Ketua Setiausaha Eksekutif PPM Mohd Zaki Nurud-Din @ Nordin berkata, “dukacita dimaklumkan bahawa Persekutuan Pengakap Malaysia sedang mengalami defisit perbelanjaan lebih kurang RM350,000.”

Surat itu tidak menyatakan punca, sebaliknya meminta semua pihak dalaman PPM mengambil tindakan mengelak membuat permohonan bantuan kewangan.

Sehubungan itu, kata beliau, PPM berharap pihak dalaman pertubuhan tersebut “tidak lagi mengemukakan sebarang pernohonan bantuan kewangan daripada PPM bagi menampung aktiviti dari program” masing-masing.

The Malaysian Insider turut menghubungi PPM beberapa kali sejak semalam tetapi tidak memperoleh respons daripada Zaki.

PPM kini diketuai oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh.

Kamarudin berkata “saya dapati ini tidak sepatutnya berlaku, nampaknya kepimpinan PPM sekarang boros... boros dalam perbelanjaan. Saya dimaklumkan program yang dijalankan melibatkan kunjungan ke luar adalah membazir, boros.”

“Ini kali pertama situasi seperti ini berlaku, ia sungguh menyedihkan dan mengecewakan... bagaimana ia boleh berlaku? Ada yang tidak kena dalam pengurusan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

PPM mempunyai sekitar lapan bangunan dan beberapa bidang tanah di Lembah Klang, kata beliau yang bimbang ia kemungkinan boleh dijual untuk mengatasi masalah defisit.

“Kita tidak mahu hartanah bernilai ini dijual,” katanya.

“Oleh itu saya mengharapkan tindakan sewajarnya. Saya dari PPM dulu, saya tahu bagaimana soal kewangan PPM harus diuruskan,” kata beliau.

Ia bergerak di bawah Akta Persekutuan Pengakap Malaysia 1968. Sehingga kini, hanya PPM satu-satunya pertubuhan seumpamanya yang dikuatkuasakan melalui akta Parlimen.

PPM kini ia dianggotai kira-kira 80,000 ahli di seluruh negara.

Tiada ulasan: