Rabu, 3 Ogos 2011

Konspirasi Ke-2 : Keputusan Temubual 15 Saksi Diketahui 8 Ogos

Ditulis oleh ZeanaAima


KUALA LUMPUR : Permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemubual 15 saksi bagi melengkapkan hujah pembelaannya sebelum memberikan keterangan membela diri, akan diketahui 8 Ogos depan.
Semalam, Anwar mengemukakan permohonan untuk menambah senarai 10 nama saksi pembelaan yang difailkan pada 26 Julai lalu.
Anwar dalam permohonan itu menyatakan bahawa mengikut undang- undang, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Notis permohonan itu menamakan beberapa individu berprofil tinggi untuk ditemubual termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Mohamad Ariff Abdul Kareem dan ketua pegawai operasi Bursa Saham Malaysia Omar Malek Ali Merican.
Turut dinamakan dalam senarai notis itu adalah, pemilik unit kondominium dimana kejadian itu didakwa berlaku, Hasanuddin Abd Hamid, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.
Setakat ini, pihak pembelaan telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid, adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel, dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, No 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pihak pembelaan sebelum ini memohon agar mahkamah mengguggurkan kes ini berikutan Saiful dikesan beberapa kali memberikan kenyataan bercanggah semasa soal balas berlangsung.
Namun, Hakim Datuk Mahkamah Tinggi, Datuk Zabidin Mohd Diah berpandangan Saiful adalah saksi yang boleh dipercayai sekaligus menolak permohonan gugur kes tersebut.

Tiada ulasan: