Khamis, 4 Ogos 2011

Kes Sosilawati: Amah dengar wanita jerit, nampak ‘api besar’

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM – Seorang pembantu rumah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bahawa beliau mendengar dua kali jeritan wanita di kawasan ladang di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.

Saksi pendakwaan ke-33, Siti Hamidah Karnax, 18, berkata dia mendengar jeritan wanita itu kira-kira pukul 9 malam, 30 Ogos 2010 semasa sedang mengisar adunan tose, sejenis makanan kaum India, di dalam asrama pekerja di ladang itu.

Laporan Bernama Online menyebut, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani apakah reaksi dia selepas mendengar jeritan itu, Siti Hamidah berkata, dia buat biasa sahaja manakala yang lain di dalam asrama itu sedang menonton televisyen dan menikmati tose.

Ditanya bagaimana bunyi jeritan itu, beliau berkata: ”Aaaaaaahh”, “Aaaaaaah” dan jeritan itu didengar selang satu ke dua saat.

Siti Hamidah berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada peguam N. Pathmanabhan, 42, dan pekerja ladang R. Khatavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama R. Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas dakwaan membunuh Sosilawati, 47 (gambar).

Keempat-empat mereka juga dituduh membunuh pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor di antara pukul 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Siti Hamidah berkata kemudiannya kira-kira pukul 1 pagi dia diarahkan oleh Jacinta, isteri Khatavarayan, mengambil barang-barang dalam rumah karaoke di dalam ladang itu.

Sebelum itu, katanya dia telah diarahkan oleh Jacinta untuk menyediakan dua helai kemeja-T – satu berlengan dan satu tidak berlengan, seluar panjang sukan, tuala, syampu, bedak, baldi dan kunyit dan diletakkan di pintu belakang asrama pekerja.

Siti Hamidah berkata setibanya di rumah karaoke itu, dia melihat barang-barang itu dalam keadaan bersepah dan nampak Khatavarayan bersama empat orang pekerja tetapi tertuduh pertama, Patmanabhan tidak kelihatan.

Kepada soalan Idham apa lagi yang dia nampak, Siti Hamidah berkata dia ternampak api besar dekat rumah yang diduduki Thilaiyalagan di dalam ladang itu.

Ditanya sebesar mana api itu, katanya “setinggi pokok sawit” dan menurutnya dia pernah nampak api di ladang itu semasa seorang lelaki yang bernama Raja dari India datang ke sana dan kali kedua semasa seorang lelaki yang dikenali sebagai Syafik datang ke ladang berkenaan.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah, dia juga nampak tiga lelaki dan seorang wanita berambut panjang separas bahu berjaket biru berada di pondok rehat di ladang itu pada pukul 7 malam, 30 Ogos 2010.

Dia berkata terdahulu sebelum pukul 5 petang, Jacinta telah mengarahkan dia dan beberapa pekerja ladang supaya menutup tingkap dan pintu asrama.

Selepas itu, dia diarahkan oleh Jacinta mengambil parang dan dia mengambil dua parang dan satu pisau dari atas almari di dalam bilik Khatavarayan dan meletakkannya di belakang pintu dan nampak Khatavarayan meletakkan parang dan pisau itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max berwarna kelabu.

Katanya kemudian dia nampak Pathmanabhan datang dan berbincang dengan Khatavarayan di luar dan selepas itu Khatavarayan naik kereta dalam keadaan cemas.

Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Siti Hamidah mengakui dia menipu umurnya 23 tahun di dalam pasportnya semasa memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Kelantan pada tahun 2008 sedangkan pada ketika itu beliau berumur 15 tahun.

Katanya, dia melarikan diri dari majikannya di Kelantan kerana mendakwa dipukul majikannya sebelum pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 dan seterusnya dibawa ke ladang itu untuk bekerja dengan Khatavarayan pada Disember 2009.

Dia juga mengakui pernah dipukul oleh isteri Pathmanabhan dengan pelepah kelapa sawit dan dipukul oleh Khatavarayan dan Jacinta dengan tangan serta rotan.

Bagaimanapun, ketika disoal oleh Manjeet Singh mengapa dia tidak melarikan diri sebagaimana yang dilakukan semasa di Kelantan, Siti Hamidah berkata: “Orang yang lari kalau ditangkap akan dipukul dengan teruk.”

Dia juga menafikan dijanjikan oleh pihak polis hadiah selepas kes ini selesai.

Ketika disoal balas oleh Ravi Nekko, peguam yang mewakili Khatavarayan, sama ada dia bersetuju bahawa pada 30 Ogos 2010, hari itu hujan, Siti Hamidah berkata: “tidak bersetuju.”

Saksi itu juga memberitahu bahawa Khatavarayan akan mandi kunyit jika ada “kebakaran.”

Bagaimanapun, Siti Hamidah tidak bersetuju dengan cadangan Ravi bahawa Khatavarayan mandi kunyit apabila dia balik lewat kerana ada bayi di dalam rumah itu iaitu anak Thilaiyalagan yang dibela Jacinta.

Dia menafikan bahawa tindakannya memberi keterangan pada hari ini bermotifkan untuk membalas dendam dengan menegaskan bahawa ia bagi menyatakan kebenaran

Tiada ulasan: