Selasa, 23 Ogos 2011

KDN akan saman Ketua Wanita PKR

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan saman terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin (gambar), ekoran dakwaannya bahawa Program 6P sebagai muslihat kerajaan menyeludup pengundi bagi pilihan raya akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata tindakan itu merupakan langkah kedua yang diambil kementerian setelah laporan polis dibuat terhadap Zuraida di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam pagi ini.

“Saya dengan ini memberi sokongan penuh kepada keputusan Jabatan Imigresen Selangor yang hari ini telah membuat laporan polis terhadap Yang Berhormat Zuraida sebagai langkah pertama sebelum tindakan lanjut diambil sebagai susulan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

“Tindakan ini adalah bukti bahawa kerajaan telus dan tidak berkompromi dalam dasar mempertahankan kedaulatan Negara.”

Minggu lepas, Zuraida dipetik sebagai berkata, hasil siasatan PKR mendapati kerajaan mensyaratkan pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya membaca 'skrip bersumpah' dengan menyatakan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan.

Pada skrip itu, tertulis teks “Saya/suami/isteri/anak-anak tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/BN”.

Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas kerajaan untuk menyeludup pengundi sekaligus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara.

Dipetik Bernama Online, Lee berkata sebelum ini, pihaknya sudah berulang kali meminta Zuraida mengemukakan bukti terhadap dakwaannya itu namun sehingga kini, tiada.

“Sebab itu, Jabatan Imigresen membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Yang Berhormat Zuraida,” katanya.

Lee berkata dakwaan yang dibuat oleh Zuraida adalah tuduhan berat kepada kerajaan kerana Program 6P hanya bertanggungjawab mengambil data biometrik untuk rasional keselamatan negara dan setiap PATI didaftarkan tanpa sebarang syarat.

Tiada ulasan: