Selasa, 9 Ogos 2011

Jangan sampai rakyat hilang keyakinan pada institusi zakat- Ahmad Kassim

Oleh: Nabihah Hamid

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN


KUALA LUMPUR: Pengurusan wang zakat perlu direformasikan bagi mengelakkan rakyat hilang keyakinan terhadap institusi itu, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kassim.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempersoalkan ke mana mengalirnya wang zakat di negara ini.

“Zakat perlulah disalurkan kepada rakyat yang betul-betul memerlukan. Ini tidak, kadang-kadang orang yang tak sepatutnya terima duit ini.

“Jangankan sampai satu peringkat, rakyat hilang keyakinan dengan sistem zakat sehingga sanggup turun untuk menyampaikan wang mereka ke tangan orang miskin sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Kassim yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, wang zakat yang melibatkan jumlah besar sepatutnya dipantau dan disalurkan dengan betul.

“Wang zakat perlulah digunakan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan pembahagiannya perlu dibuat dengan kebijaksanaan,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Menyokong kenyataan tersebut, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata pentadbiran wang zakat tidak diurus dengan telus dan bijak terutama di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Wang zakat yang sepatutnya menolong untuk menyelesaikan masalah kemiskinan melarat di kalangan umat Islam kini hanya tertumpu pada musim perayaan saja,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran wang zakat terbukti tidak telus apabila terdapat dakwaan ia digunakan untuk membiayai kos guaman pegawai tinggi kerajaan.

Sebelum ini, pengurusan dan pengagihan wang zakat seringkali dipersoalkan banyak pihak apabila terdapat kes umat Islam yang layak menerimanya, tidak memperoleh bantuan berkenaan.

Pada Jun lalu, KEADILAN tampil mendedahkan penyalahgunaan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu.

Jumlah itu dikatakan dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Manakala penghujung April lalu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar mendakwa penyelewengan wang zakat di Melaka berpunca akibat kaedah pengurusan hartanah yang lemah.

Tiada ulasan: