Sabtu, 20 Ogos 2011

Jangan panggil PRU-13 selagi tiada pembaharuan, Bersih gesa Najib

TERKINI

KUALA LUMPUR— Bersih 2.0 menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Bersih 2.0 dengan keras mengulangi tuntutannya bahawa kerajaan tidak harus mengadakan mana-mana pilihan raya sehingga dan melainkan syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan pembaharuan segera dilaksanakan,” kata gabungan lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan ini dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Bersih 2.0 juga berkata, pihaknya kekal dengan pendirian bahawa sebuah suruhanjaya diraja harus ditubuhkan bagi mengkaji pembaharuan pilihan raya, meliputi isu-isu lebih besar dan demokrasi antaranya sistem daftar pengundi, kajian semula undang-undang pilihan raya dan keanggotaan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tidak harus ada pilihan raya sehingga jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan dan syor-syornya dilaksanakan untuk membetulkan kesemua kepincangan sistem pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu kata Bersih2.0, pihaknya juga kecewa dengan kebongkahan “menteri-menteri kita” dalam membinbcangkan terma rujukan dan komposisi keahlian jawatankuasa pilihan khas yang akan dibentuk Oktober ini.

“Kami mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin negara bahawa sebagai wakil yang dilantik oleh rakyat Malaysia, mereka mesti dengan rendah diri mendengar suara rakyat dan bertindak mengikut kehendak rakyat,” katanya.

“Pilihan raya yang bersih, bebas dan adil adalah asas kepada sebuah negara demokrasi,” kata Bersih 2.0 sambil menambah, apabila sistem sedia ada dipertikaikan satu siasatan mesti dilancarkan dan usaha secukupnya perlu dilaksanakan untuk memperbaikinya.

“Oleh itu, adalah penting pembentukan jawatankuasa pilihan khas yang disyorkan mesti distruktur sedemikian rupa agar dapat memastikan standard sistem pilihan raya yang tinggi,” katanya.

Antara lain Bersih 2.0 mengesyorkan lagi agar jawatankuasa pilihan khas melihat aspek:
- ia diketuai oleh wakil pembangkang sebagai pengerusi;
- perlu menyertakan bersama pakar-pakar sebagai sumber pokok perbincangan;
- perlu mengamalkan ketelusan yang cukup tinggi dalam melaksanakan fungsinya;
- perlu mengadakan siasatan awam di seluruh Negara;
- perlu dibenarkan mengadakan perbincangan ketika sidang Parlimen berlangsung.

Petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berrkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Bagaimanapun kata perdana menteri, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran Parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Tiada ulasan: