KUALA LUMPUR — Lima penulis yang karya mereka dipilih untuk dijadilkan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) merayu campur tangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan dinafikan hak untuk menerima royalti.
“Karya kami, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komsas tetapi kami merasakan diri kami teraniaya kerana penerbit bagaikan menafikan hak kami berlima untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek kami sebagai penulis kreatif,” kata mereka dalam surat yang dihantar kepada Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran.
Dalam surat itu, mereka mendakwa pihaknya merasakan diri “kami bagaikan teraniaya dan mungkin juga dipergunakan pihak tertentu untuk mengaut untung.”
Surat rayuan itu disiarikan dalam Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB hari ini.
“Maka kami berlima memutuskan untuk mengemukakan surat rayuan terbuka ini kepada Tan Sri (Muhyiddin),” kata mereka lagi.
Lima penulis tersebut ialah Rohani Deraman dari Johor, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri (Kelantan), Hazama Harun @ Aida Shahira (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal, Kuala Lumpur dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya).
Kata mereka, pihaknya merayu agar Muhyiddin menggunakan kuasa dan hak sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan isu royalti, hak cipta dan harta intelek ini.
“Pada masa sama, kami berlima memuji sikap profesional dan penuh beretika yang diamalkan oleh Sasbadi Sdn Bhd yang sudah pun membuat bayaran royalti pertama pada 25 Ogos 2011 kepada Timah Baba bagi karya anaknya, Hizairi Othman, yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Dua,” kata mereka.
Bagaimanapun kata mereka, royalti buat pihaknya melibatkan penerbit-penerbit lain ada yang tidak dibayar langsung dan ada yang sudah dibayar sebahagian kecil.
“Kami merayu Tan Sri membela nasib kami berlima sebagai penulis yang berhak menerima royalti dan hasil pendapatan halal menerusi penulisan karya sastera,” kata mereka sambil menambah, “kami berharap kes ini tidak dilihat sebagai kes terpencil dan dipandang ringan.”
Malah kata mereka, pihaknya juga mengharapkan “berita gembira” berupa pembelaan terhadap hak cipta, harta intelek dan hak royalti kami menjelang 1 Syawal ini.
Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani gunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua.
Dalam pada itu, novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan manakala puisi “Seorang Insan Istimewa” karya Amy Suzani termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam.
Cerpen “Limau Bali dan Semangkuk Daging” karya Amy Suzani memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995 dan ia tersiar dengan judul “Budi Semangkuk Daging” dalam antologi Budi Semangkuk Daging.
Novel Di Sini Bukan Duniaku pula dikarya oleh Hazama dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.
Sementara itu, novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Cerpen “Israk” karya Erda Roslan dijadikan teks Komsas Tingkatan Empat di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan