Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR: Imej polis dan persepsi terhadapnya hanya boleh diperbaiki dengan mewujudkan badan seperti Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Berbeza dengan pandangan Unit Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) yang menjangka persepsi terhadap polis lebih merosot selepas perhimpunan Bersih 9 Julai lalu, beliau yakin persepsi orang ramai terhadap polis berkaitan keadilannya dalam isu-isu yang berkaitan kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah lama berada di tahap yang paling bawah. "Persepsi bukan bertambah merosot selepas perhimpunan Bersih tetapi sentiasa berada di tahap paling bawah. "Polis tidak pernah dilihat adil dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Umno dan BN. "Contoh yang paling mudah, lazim dan ketara untuk dilihat ialah sikap polis dalam menghadapi perhimpunan anjuran para Umno atau penyokongnya dan sikapnya dalam menghadapi perhimpunan anjuran pembangkang hatta majlis ceramah yang tidak pernah mencetuskan kekecohan pun selalu diserang seperti menyerang pengganas oleh polis," katanya. Bagi Mahfuz, rakyat sudah lama tidak berpuas hati malah sebahagiannya sangat berdendam dengan sikap polis itu. "Sikap berdendam sedemikian tidak elok untuk negara kita. "Tetapi, yang boleh menentukan sama ada dendam seperti itu berterusan atau tidak ialah sikap polis sendiri," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Beliau yakin, masalah itu hanya boleh diatasi dengan mewujudkan badan seperti IPCMC yang pernah dicadangkan oleh sebuah suruhanjaya mengenai polis beberapa tahun lalu. "Hanya dengan penubuhan badan seperti itu sikap keterlaluan yang dilihat terutama dalam sikap yang terlalu ketara menyebelahi Umno dan BN boleh dikawal. "Pihak polis pula sepatutnya lebih terbuka menerima badan seperti itu demi memperbaiki imej polis dan persepsi terhadap mereka," katanya sambil merujuk kepada penentangan terbuka pihak polis terhadap cadangan penubuhan IPCMC dahulu. Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Pemandu menjangka perhimpunan 9 Julai lalu akan memberi kesan negatif orang awam terhadap pasukan polis. Pengarah bidang keberhasilan utama negara (NKRA) bagi pengurangan jenayah, Eugene Teh Yee berkata, ia akan menterbalikkan peningkatan dalam persepsi tersebut sejak tahun 2009. "Ya, (tahap persepsi orang ramai terhadap polis) akan terjejas, tetapi mudah-mudahan kita boleh memperbaikinya," katanya kepada pemberita selepas taklimat media mengenai Program Transformasi Kerajaan di Petaling Jaya hari ini. Antara sebab-sebab yang mungkin menjadi punca kemerosotan rating terhadap polis, katanya, ialah kecepatan perkongsian maklumat awam mengenai tindakan keras pihak polis pada hari berkenaan. Beliau berkata, gambar dan video diedarkan dengan serta-merta, tetapi polis mengambil masa beberapa hari untuk mengemukakan penjelasan mereka. Cerita para saksi pula disiarkan di internet mengenai dakwaan keganasan pihak polis ketika kira-kira 15,000 orang memenuhi jalan-jalan di Kuala Lumpur, bagi menuntut pilihanraya bersih dan adil. |
Sabtu, 6 Ogos 2011
IPCMC boleh baiki imej polis
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan