Isnin, 15 Ogos 2011

Hanya 4 kerusi lagi untuk tumbangkan BN Negeri Sembilan !

DETIK DAILY

PAKATAN Rakyat hanya memerlukan tambahan empat lagi kerusi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Negeri Sembilan dalam PRU13 tak lama lagi.

Tambahan empat kerusi bukanlah sesuatu yang sukar, bagaimanapun ia tidak boleh dipandang mudah, tegas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Katanya, apa yang penting Pakatan mampu mempertahankan kerusi yang sedia ada di kawasan bandar dan menyusun strategi untuk menarik sokongan masyarakat di Felda dan kampung.

“Pada saya persiapan kali ini (PRU-13) adalah lebih baik daripada Pilihan Raya Umum 2008. Kita harap dengan perkembangan yang ada PAS akan mencatat keputusan yang lebih memberangsangkan,” katanya.

Mohamad Taufek yang juga Adun Paroi yakin Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dari segi bilangan kerusi, Pakatan Rakyat kini menguasai 15, berbanding BN hanya 21. Beliau mendakwa, lokasi Negeri Sembilan yang terletak di pinggir Lembah Kelang sepatutnya tahap pencapaian ekonominya, jauh lebih baik.

Tetapi, katanya, kerajaan Umno-BN yang ada gagal meningkatkan ekonomi rakyat dengan hanya mengutip pendapatan negeri sekitar RM300 juta setahun. Jumlah ini, dakwa Mohamad Taufek hanya cukup untuk perbelanjaan pengurusan dan inilah isu yang akan diketengahkan kepada rakyat.

Tiada ulasan: