Saman malu. Itu tindakan yang sedang dipertimbangkan oleh Azmil Mustapha berhubung isu ceramahnya di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang yang telah menimbulkan kontroversi ekoran beberapa komen yang dibuatnya dalam ceramah tersebut.
Bekas penyanyi dan pelakon 80an itu mendakwa laporan yang disiarkan oleh pihak akhbar tentang ceramahnya yang dikatakan berbau politik itu telah diambil di luar konteks.
“Saya sedang menimbangkan untuk saman malu, bukan saja pada mereka yang membuat laporan tersebut bahkan pihak akhbar yang menyiarkannya kerana melaporkan tanpa memeriksa terlebih dulu betul atau tidak kejadian itu berlaku,” kata Azmil ketika dihubungi Ahad.
Dia mendakwa isi ceramahnya telah diputar belitkan dan laporan yang dibuat adalah di luar konteks, termasuk komennya tentang haji dan zakat yang tidak diterima Allah terhadap seorang tua yang telah bangkit meninggalkan masjid tersebut.
“Saya tidak membuat teguran itu ke atas mana-mana atau sesiapa secara individu dan ayat-ayat yang saya guna dalam ceramah adalah ayat Al Quran.
“Dan, saya ada sebut, kalau saya salah, maka salahlah Al Quran.Tapi kemudiannya ada laporan sebut yang saya tolak Al Quran. Banyak yang diambil diluar konteks,” katanya yang kini telah bermastautin tetap setelah lima tahun berada di Syria.
“Saya bagi ceramah di ratusan tempat, tetapi tidak pernah pun ada masalah. Kandungan ceramah saya serupa, hanya diubahsuai sedikit mengikut kesesuaian tempat,” katanya yang akan mengadakan ceramah yang sama di Kedah esok.
“Lepas saya balik dari Kedah itu, baru saya fikirkan dan bincang bersama peguam saya, berdasarkan laporan polis. Setakat ini saya belum lagi melihat laporan itu,” katanya yang mahu bertemu Jais minggu depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan