Sabtu, 6 Ogos 2011

Daftar pemilih: PAS Selangor buat laporan polis terhadap JPN, SPR


KUALA LUMPUR — Ekoran pendedahan tukar status kewarganegaraan warga asing dalam tempoh singkat baru-baru ini, PAS Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan polis dibuat oleh Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS negeri Mohamad Asri Sapar di Ibu pejabat polis daerah Shah Alam petang tadi.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, laporan itu dibuat kerana wujud terlalu banyak konspirasi sehingga JPN membenarkan pemastautin tetap ditukar status menjadi warga negara Malaysia.

“Kita buat laporan terhadap JPN dan SPR kerana timbul terlalu banyak keraguan tentang status kewarganegaraan pemastautin tetap yang mana kalau kita lihat status mereka bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat.

“Kita mahu polis siasat, siapa dalang di sebalik konsprirasi ini kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelas beliau, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 1,108 warga asing yang sudah ditukar status kewarganegaraan oleh JPN.

“Sebab itu kita buat laporan polis ini, kita mahu polis siasat dengan terperinci, bagaimana ia boleh berlaku sebab jumlahnya terlalu ramai.

“Kita juga bimbang akan konspirasi antara JPN dan SPR dalam perkara ini,” katanya.

Kesemua 1,108 nama warga asing itu diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Tambah Khairuddin, tindakan JPN melakukan pertukaran status pemastautin tetap merupakan satu penipuan dan tidak bertanggungjawab.

“PAS Selangor mempunyai bukti jelas dalam bentuk cetakan, keadaan status kerakyatan sebelum dan selepas pertukaran dalam sistem data JPN yang diubah dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

“Kami mahu mereka yang terlibat dalam kerja yang mengancam keselamatan negara ini dikenakan tindakan undang-undang yang berat,” katanya.

Tiada ulasan: