Khamis, 18 Ogos 2011

Curi elektrik: Pemilik kilang, akauntan sogok staf TNB RM100,000 ditahan

THE MALAYSIAN INSIDER


Jumlah sogokan tersebut merupakan jumlah tertinggi dibayar kepada pekerja TNB. — Foto Reuters


KUALA LUMPUR — Dua orang termasuk pemilik kilang produk plastik di ibu negara, yang menyogok pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM100,000 bagi mengelak diambil tindakan berhubung kesalahan mencuri elektrik, ditahan SPRM semalam.

The Malaysian Insider difahamkan ia merupakan nilai sogokan paling besar setakat ini kepada pekerja TNB.

Sumber memberitahu turut ditahan bersama pemilik kilang itu, yang beroperasi di kawasan Setapak, ialah seorang akauntan kilang tersebut.

Kedua-dua mereka ditahan tengah hari semalam oleh SPRM Selangor untuk siasatan dan dilepaskan dengan ikat jamin kemudian.

“Jumlah sogokan RM100,000 merupakan jumlah paling tinggi dibayar kepada pekerja TNB. Kes-kes sebelum ini melibatkan sekitar RM30,000 sahaja,” kata sumber itu.

Malah menurut sumber itu, syarikat itu mencuri arus elektrik bernilai kira-kira RM1 juta.

“Kedua-dua mereka cuba membayar kepada pengurus siasatan dan risikan TNB, RM100,000 secara tunai.

“Ekoran tindakan itu, satu laporan dibuat di SPRM Selangor,” katanya lagi.

Tiada ulasan: