Ahad, 14 Ogos 2011

BN sasar tawan Pulau Pinang, usaha desak Tsu Koon undur juga meningkat

TERKINI

KUALA LUMPUR — Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berhadapan dengan nasib dialami oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjelang pilihan raya negeri baru-baru ini, ekoran kritikan dan kecaman agar berundur daripada menerajui Gerakan.

Rata-rata pandangan umum di Putrajaya ialah ketua Gerakan lemah lembut ini seharusnya berundur sebelum pilihan raya umum ke-13 jika perikatan tersebut mahu merampas balik Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Sementara Koh tidak dihimpit dakwaan rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana dialami Taib, beliau dilihat sebagai pemimpin yang tidak tegas dan simbol kepimpinan BN membawa kepada keputusan pengundi menolak pada 2008.

Difahamkan, Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN telah pun mengadakan perbincangan di sebalik tabir tentang keperluan menyegarkan Gerakan dengan kepimpinan muda yang berbakat dan sedar bahawa parti-parti komponen BN memerlukan bakat-bakar baru jika mahu kukuh kembali di Pulau Pinang, di mana Lim Guan Eng dari DAP merupakan pemimpin mengerunkan.

Dalam edisi terbaru 13 Ogos, majalah mingguan antarabangsa The Economist menggambarkan Pulau Pinang sebagai “bandar raya globalisasi ditempah khas” dan memberikan kredit kepada Lim kerana mempromosikan bandar raya pelabuhan itu dengan memperkenalkan dasar ekonomi bercirikan layanan istimewa bagi mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan, yang menarik pelabur-pelabur asing.

“Beliau menjadi ketua menteri pertama di Malaysia yang membuka kesemua tender kerajaan kepada persaingan. Ini telah mengetepikan layanan-layanan istimewa bagi kaum Melayu yang menopang di bawah kerajaan BN sejak 1970-an,” kata majalah berpengaruh dalam bidang ekonomi dan hal ehwal antarabangsa mengenai Lim dan pembaharuan ekonominya.

Pujian antarabangsa ke atas Lim itu menunjukkan indikmen terhadap kepimpinan Koh di Pulau Pinang, yang makmur ketika diterajui oleh mentonya mendiang Tun Lim Chong Eu.

Koh, graduan dari Princeton mengambil alih jawatan ketua menteri pada 1990 dan menyandangnya sehingga 2008.

Hari ini, Mingguan Malaysia, akhbar milik Umno menggesa Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon agar menerima “mesej yang jelas” daripada gelombang kritikan terhadap beliau agar memberi laluan kepada kepimpinan baru menerajui parti itu.

“Tolonglah faham,” kata Mingguan Malaysia menerusi ruangan Bisik-Bisik Mingguan Awang Selamat.

Awang Selamat menulis bahawa Koh tampil menjawab kritikan kelmarin tetapi penjelasan beliau tidak meyakinkan sambil menyerlahkan sindrom penafian.

Ia seterusnya meminta Koh agar tidak selalu “menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri.”

Sejak kebelakangan ini, Koh menjadi sasaran beberapa pihak termasuk bekas naib presiden Gerakan Huan Cheng Guan, Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Tan Sri Tan Kok Ping dan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang berpandangan Gerakan perlu merombak semula kepimpinan parti jika mahu memastikan Pulau Pinang kembali ke tangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Masing-masing juga berpandangan pemimpin Gerakan sedia ada sudah tidak relevan selain tidak melakukan apa-apa perubahan sepanjang meneraju parti itu.

Dalam reaksinya kelmarin, Koh membidas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan kewibawaannya memimpin parti itu dan keupayaannya merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya kata Koh, ‘serangan’ terhadap kepimpinan beliau itu didalangi pihak tertentu yang cuba mensabotaj Gerakan dan juga Barisan Nasional (BN) dalam usaha parti menawan semula Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

“Kita tahu siapa jadi dalang kerana siapa makan cabai dia akan terasa pedasnya. Saya tidak akan cakap apa-apa, biar tok dalang muncul sendiri jika dia mahu... apa yang penting kita tahu siapa di sebalik semua ini,” katanya.

Taib menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN Rabu lalu tetapi sumber memberitahu bahawa beliau kelihatan sangat diam.

Bertolak daripada perkembangan sejak April lalu, seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu The Malaysian Insider: “Hubungannya dengan Perdana Menteri tidak begitu baik beliau merasakan beliau telah dijadikan kambing hitam bagi pilihan raya negeri Sarawak dan kecewa SPRM juga digunakan oleh kerajaannya sendiri untuk memburukannya.”

Najib dilihat perlu mengukuhkan hubungan dengan Taib sebab Sarawak akan menyediakan 31 kerusi Parlimen dan negeri itu dilihat sebagai simpanan hayat bagi BN untuk terus kekal berkuasa.

Tiada ulasan: