Selasa, 9 Ogos 2011

Biometrik: SPR boleh manipulasi data JPN- Suhaizan

Oleh: Sidiqin Omar



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpeluang memanipulasi data pekerja asing berdaftar yang diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan memasukkan nama mereka ke dalam senarai pengundi.

Dengan cap jari disimpan dalam data sistem biometrik, seseorang berstatus penduduk tetap (PR) boleh menjadi warganegara dan pengundi berdaftar dengan hanya ketikan di papan kekunci komputer, kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kayat.

“Ia sangat mudah dibuat kerana kedua badan tersebut (SPR dan JPN) berangkaian. Ada kemungkinan JPN akan meluluskan sementara kerakyatan Malaysia pemegang kad MyPR.

“SPR boleh memanipulasi status tersebut dan memasukkan senarai nama itu ke dalam daftar pengundi. Kemudian nama dalam senarai dikembalikan kepada status asal, iaitu sebagai pemastautin tetap (PR) selepas ‘tugas’ mereka selesai.

“Ini kemungkinan yang boleh terjadi. Tak mustahil,” kata Suhaizan.

Beliau mengulas laporan media bahawa 250,000 pembantu rumah warga asing akan didaftar ke dalam sistem pendaftaran biometrik apabila majikan memperbaharui permit kerja mereka. Bilangan pekerja asing secara sah di negara ini ialah sekitar 1.9 juta orang.

Program itu khusus untuk pembantu rumah kerana tidak termasuk dalam kumpulan pekerja industri yang terlibat Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah.

Ia adalah sebahagian dari program 6P anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) meliputi pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan telah mendaftar di bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula 1 Ogos ini.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kira-kira 200,000 warga Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata kecurigaan itu berasas sejak SPR mula mencadangkan sistem biometerik kononnya untuk mengelakkan undi berulang.

“Bahkan, Datuk Wan Ahmad (Timbalan Pengerusi SPR) sendiri mengakui dalam debat dengan Bersih (Datuk S Ambiga) tempoh hari bahawa sistem biometrik ini ‘memudahkan’.

“Tak perlu bawa kad pengenalan pun boleh mengundi. Hanya cop jari di mesin pengimbas dan ada data, maka boleh mengundi. Ini tak betul,” katanya.

Beliau menambah, bentuk muka bumi Malaysia tak sekata dengan banyak kawasan tidak mempunyai akses internet, bahkan ketiadaan bekalan elektrik.

“Sistem biometrik memerlukan kaedah ‘real time’ (masa selari). Jika seseorang telah mengundi di Sabah, maka namanya mesti ditandakan sebagai ‘telah mengundi’ di dalam sistem. Apa bukti sistem ini teruji dan dipercayai?, soal Suhaizan.

Justeru beliau menegaskan penggunaan ‘dakwat kekal’ sebagai kaedah sebenar mengelak pengundian berulang

“Cakap-cakap soal sistem biometrik ini hanya percubaan alihkan isu sebenar,” katanya.

Tiada ulasan: