Saman itu akan dikemukakan atas tuntutan tangkapan dan penahanan mereka adalah salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang.
KUALA LUMPUR: Dua Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub akan memfailkan saman terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Isnin depan berhubung penahanan mereka semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Saman itu akan dikemukakan atas tuntutan tangkapan dan penahanan mereka adalah salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena dan Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian akan diwakili peguam Zulhasme Sharif daripada Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham).
Pengerusi Biro Guaman PAS Pusat Asmuni Awi berkata, Mahfuz dan Salahuddin merupakan antara peserta Bersih 2.0 yang akan memfailkan saman terhadap PDRM.
“50 peserta Bersih 2.0 daripada Perak yang ditahan pada hari kejadian juga akan memfailkan saman mereka minggu depan,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.
Asmuni sebelum itu mewakili Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, juga salah seorang peserta Bersih memfailkan saman terhadap PDRM (defendan pertama) dan kerajaan Malaysia (defendan kedua) berhubung penangkapannya di KL Sentral.
Beliau dalam tuntutan samannya berkata pada 9 Julai lalu kira-kira 17 anggota polis menahannya selepas turun daripada LRT atas alasan ‘mengganggu tugas anggota polis’ selepas beliau enggan menyerahkan kad pengenalannya untuk diperiksa.
Beliau kemudiannya dibawa masuk ke dalam trak polis, dibiarkan berhimpit-himpit dengan tahanan Bersih 2.0 yang lain sehingga sesak nafas, dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan hanya dibebaskan pada pukul 9.30 malam.
“Sehingg ke saat pembebasan plaintif oleh defendan pertama (PDRM), plaintif tidak mengetahui dan tidak pernah diberitahu secara spesifik mengapa atau atas kesalahan apa ditangkap dan ditahan,” katanya dalm saman itu.
Sehubungan itu, Razman, 51, yang memfailkan saman melalui Tetuan Awi & Co, selain mahu mendapat pengisytiharan tangkapannya tidak sah, turut menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am, kos, dan lain-lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Asmuni ketika mengulas mengenainya berkata ia satu pencabulan terhadap hak kebebasan individu bergerak dan berhimpun secara bebas dan tindakan saman ini relevan supaya isu yang sama tidak akan berulang.
“Ini baru permulaan. Akan ada lebih ramai lagi tahanan Bersih 2.0 yang mahu failkan saman dan kita sedia membantu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan