Isnin, 22 Ogos 2011

Bebas tuduhan khalwat, Raja Azmi akan buat pendedahan



PETALING JAYA - Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman akan mengadakan sidang media khas untuk mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku berhubung tuduhan khalwat yang dibuat ke atasnya dan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim.

Ia akan diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Rabu ini, pukul 4.30 petang.

“Saya akan membuat sidang media untuk menjelaskan tentang tuduhan khalwat melibatkan saya dan Roslin. Segala-galanya akan didedahkan pada hari itu. Buat masa ini saya tidak mahu memberi komen lanjut,” katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Raja Azmi enggan mendedahkan butiran kesnya itu sehinggalah pada majlis berkenaan.

Difahamkan sidang media itu dibuat selepas tiada pendakwaan terhadapnya oleh pihak Jabatan Agama islam Wilayah (Jawi) yang sudah beberapa kali tertangguh.

Selain itu, isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek ini juga akan mengadakan majlis doa selamat dan berbuka puasa sebagai tanda syukur terhadap kesnya itu.

Kata Raja Azmi dia akan mendedahkan segala tuduhan yang dilakukan oleh bekas isteri Roslin, Norhayati Othman yang membuat laporan kononnya mereka berkhalwat.

“Saya akan tunjukkan segala bukti dalam sidang media itu nanti untuk membersihkan nama saya yang sudah tercemar,” katanya.

Sebelum ini Raja Azmi, Roslin dan Jailani dipanggil memberi keterangan di hadapan pegawai penyiasat Jawi berhubung laporan kesalahan berkhalwat tanpa tangkapan mengikut Seksyen 58 sub seksyen 1 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh bekas isteri Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira jam 8.30 malam.

Norhayati membuat laporan kepada pihak Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat.

Dakwaan khalwat itu juga dinyatakan oleh Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada 18 Ogos 2010.

- mStar

Tiada ulasan: