Rabu, 10 Ogos 2011

Album Tak Laku - Mila AF Salahkan Syarikat Rakaman.

KL POS

AMPANG - Penyanyi Mila Jirin merancang untuk menarik balik album keduanya yang kini telah berada di pasaran daripada Erama Record Sdn Bhd kerana kecewa dengan edaran syarikat itu.

Tambah Mila, album yang baru dilancarkan pada Februari tahun lalu itu dikatakan tidak mendapat sambutan kerana promosi yang kurang dilakukan oleh syarikat tersebut.

"Saya sedang merancang untuk menarik balik album kedua saya yang kini berada di pasaran dari syarikat Erama Record Sdn Bhd dan membuat edaran semula.

"Kemungkinan album tersebut akan diuruskan oleh syarikat saya MJ Panacea Records Sdn Bhd sepenuhnya dan merangka semula promosi album tersebut," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album “Siapa Peduli”, di sini, Sabtu lalu. Katanya, dia sanggup membelanjakan sedikit wang bagi menjalankan proses tersebut dari awal.

"Saya tidak kisah keluarkan sedikit duit daripada membiarkan sahaja album tersebut di pasaran tanpa sebarang promosi,

"Ya sudah tentu banyak perkara yang akan dibuat semula terutamanya pembungkusan semula album tersebut dan edar semula ke pasaran," jelasnya.

Tambah Mila, dia akan membincangkan perkara tersebut dengan pihak Erama Record dalam masa terdekat bagi menyelesaikan peralihan itu secepat mungkin.

"Saya tiada masalah untuk ambil semula album berkenaan kerana saya belum menandatangani apa-apa kontrak dengan pihak Erama.

"Saya akan duduk semeja dan membincangkan perkara ini secara baik," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mila yang baru sahaja pulang dari Farrington, United Kingdom telah menghabiskan rakaman 10 buah lagu berbahasa Inggeris untuk album terbarunya.

"Saya baru sahaja pulang ke Malaysia selepas merakamkan album Inggeris dengan sebuah syarikat rakaman BGM Music,

"Single pertama berjudul “Breakdown” akan keluar selepas raya dan album tersebut juga akan dijual melalui I-Tunes di pasaran Eropah," jelasnya. -MStar Online-


Tiada ulasan: