BERNAMA
Empat pelajar sebuah sekolah menengah di ibunegara cedera parah dalam satu pergaduhan di luar perkarangan sekolah mereka petang ini.
Mereka mendakwa diserang lebih 30 pelajar yang bersenjatakan besi, cota dan topi keledar, dipercayai dari dua sekolah lain, di luar pintu sekolah pada kira-kira pukul 1.15 petang, semasa hendak pulang.
Seorang pelajar dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi retak di tangan kanan dan dua lagi cedera di beberapa bahagian anggota badan.
Salah seorang pelajar yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mohd Amirul Aiman Mohd Marzukhi, 17, berkata doa diserang semasa cuba meleraikan pergaduhan dan semasa cuba membantu seorang rakannya yang dipukul.
"Mereka datang dan serang kami secara tiba-tiba. Saya cuba selamatkan rakan tapi dipukul di bahagian kepala," katanya.
Sementara itu bapa kepada salah seorang dari pelajar yang tercedera, Datuk Mohd Abdullah Mohidin berkata anaknya Mohamed Syahiran Syaza, 17, mengalami pendarahan di belakang kepala dan mendapat tiga jahitan.
"Saya amat terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka pelajar sekolah sanggup bertindak sedemikian," kata beliau yang turut ditemui di HKL.
Syahiran pula berkata beliau dan rakan-rakanya tidak tahu motif sebenar kejadian dan menurutnya sebelum ini tidak pernah wujud sebarang pergaduhan atau perselisihan faham dengan pelajar terbabit.
Difahamkan seorang suspek ditahan bagi membantu siasatan, dan polis sedang berusaha mengesan lain-lain pelajar yang terlibat.
Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan