Rabu, 3 Ogos 2011

1,100 penduduk tetap dalam daftar pemilih di Selangor

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas mendakwa di Selangor sahaja, terdapat 1100 nama penduduk tetap (PR) yang dikesan telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata demikian, susulan pendedahan Malaysiakini semalam yang berjaya mengesan kewujudan seorang penduduk tetap bernama Mismah yang didaftarkan sebagai pemilih berdaftar dalam laman web SPR.

Bagaimanapun laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menukar status Mismah dari penduduk tetap kepada warganegara kira-kira dua jam selepas perkara itu didedahkan.

“Di Selangor ada lebih kurang 1100 nama penduduk tetap (PR) ini sedang dibantah oleh pihak PAS Negeri dan PAS negeri-negeri lain juga diharapkan dapat meneruskan bantahan yang serupa,” kata Mohd Sany.

Pihaknya memberikan amaran supaya JPN menghentikan perbuatan memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap, sekaligus disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Katanya, pihaknya mengambil tindakan lebih tegas termasuk membuat laporan polis di seluruh negeri, menghantar memorandum kepada Suhakam, pihak Kementerian dan juga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Semalam, PAS Wilayah Persekutuan turut mendakwa mengesan 52 kes penduduk tetap yang disenarai sebagai pengundi ketika mengemukakan bantahan kepada SPR Wilayah Persekutuan.

Sama seperti Malaysiakini, setiausaha PAS kawasan Titiwangsa, Hedzer Ibrahim berkata pada jam 3 petang, 52 penduduk tetap tersebut telah dikategorikan sebagai warganegara Malaysia.

Tiada ulasan: