"Sama ada mendapat 'lampu hijau' atau tidak dari BN Negeri, parti itu tetap akan membariskan calon-calon di kawasan Parlimen terutama yang dimenangi pembangkang," kata Presiden M Kayveas.
KUCHING: Parti Progresif Penduduk (PPP) bersedia meletakkan calon mereka atas tiket Bebas di Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, kata Presidennya Datuk M Kayveas.
Malah tegasnya, sama ada mendapat ‘lampu hijau’ atau tidak dari Barisan Nasional (BN) Negeri, parti itu tetap akan membariskan calon-calon di kawasan Parlimen terutamanya yang dimenangi pembangkang.
Kayveas dengan penuh keyakinan turut menyatakan parti yang berpangkalan di Semenanjung itu turut mempertimbang untuk mengetengahkan calon mereka pada pilihan raya negeri depan jika permintaan anggota parti dan penyokong semakin kuat.
“Ini adalah berikutan permintaan penduduk Sarawak sendiri, kami tidak memaksa diri untuk melakukannya tetapi itu yang rakyat mahukan. Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan BN Negeri kerana kita sebahagian daripada parti komponen BN peringkat nasional.
“Tetapi sekiranya BN Sarawak terus ‘menolak’ PPP, maka kami bersedia bertanding atas tiket Bebas…..namun jika mereka (BN Sarawak) merestui hasrat dan yakin dengan kemampuan calon kami, maka tiada salahnya bagi kami untuk meneruskan impian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Khidmat Masyarakat PPP di sini.
Hadir sama, Pengerusi PPP Sarawak, John Lau Pang Heng dan Ketua Penerangannya, Roy Mani.
Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga memberitahu PPP setakat ini belum menetapkan sebarang sasaran kerusi yang akan ditandingi kelak.
Ini kerana jelasnya, ia adalah berdasarkan hasil sokongan ahli-ahli serta permintaan masyarakat akar umbi.
“Jika ada peluang kemenangan berpihak kepada PPP….jadi apa salahnya?,” katanya dengan ringkas.
Dalam perkembangan lain, Kayveas menyatakan PPP Sarawak mensasarkan untuk merekrut lebih ramai keahlian baru khususnya di kalangan golongan muda.
Katanya, setakat ini, PPP Sarawak telah berjaya merekrut kira-kira 50,000 ahli baru berbanding 30,000 keahlian yang direkodkan tahun lepas.
“Setakat ini mereka yang berusia antara 25 dan 45 tahun berminat untuk menyertai kami kerana kami mencerminkan parti politik
1Malaysia yang sebenar memandangkan anggota kami terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Keduanya kami adalah parti komponen BN peringkat nasional,” katanya sambil menambah sepanjang Januari sehingga Jun, parti berkenaan berjaya merekrut kira-kira 70,000 ahli baru di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan