Sabtu, 23 Julai 2011

SPRM: Siasatan atau penderaan?

Oleh Adil Mat Selamat

Laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teo Beng Hock amat mengejutkan. Ia memperlihatkan bagaimana proses soal-siasat mampu merosakkan minda seseorang hingga membuatkan mangsa hilang pertimbangan dan membunuh diri.

Jika kita menilai kaedah siasatan itu, mungkin kita boleh membandingkan kaedah soal siasat yang dilakukan oleh rejim ganas seperti tentera dan polis Zionis Israel. Antara kaedah dalam setiap siasatan, pasti akan ada ‘penderaan’.

Penderaan ini boleh berlaku secara mental (tanpa sentuhan) dan fizikal (sentuhan). Kesannya tetap sama walau pun tiada ‘body contact’ anggota penyiasat.

Di Israel, walau pun kaedah ini tidak berperikemanusiaan, pihak Zionis berani menyiarkan secara terperinci kaedah atau sistem soal siasat itu kepada rakyat Israel. Sekurang-kurangnya, warga masyarakat tahu tentang kaedah ini, dan boleh menuntut supaya ia dibatalkan atau diteruskan.

Pihak berkuasa siksa orang?

Bagaimana dengan SPRM dan polis di Malaysia? Adakah kita rakyat diberi maklumat dan pengetahuan tentang kaedah yang telah dan sedang digunakan oleh mereka?

Bukankah mereka ini penjawat awam dalam perkhidmatan awam. Ini bermaksud, tanggungjawab mereka adalah kepada rakyat, iaitu kita. Maka kita berhak untuk tahu dan menilai bagaimana dan apakah kaedah siasatan yang digunakan.

Jika ia bersesuaian, maka laksanakanlah, jika tidak mereka perlu akur dengan keputusan rakyat.

Jika SPRM atau polis ini syarikat sendirian berhad, maka terpulanglah kepada syarikat itu. Mereka boleh buat sesuka hati mereka. Tiada siapa ambil peduli tentang kaedah atau hasilnya. Jika rakyat tidak suka, kita boikot mereka.

Tetapi ia tidak begitu apabila melibatkan hak asasi manusia, dan membabitkan pula perkhidmatan awam.

Rakyat perlu menuntut pihak berkuasa, khususnya dalam kes Teo Beng Hock, supaya SPRM mendedahkan secara visual, bertulis dan rakaman audio bagaimana kaedah siasatan yang dikatakan melampau ini dilakukan kepada khalayak.

Dengan itu, rakyat boleh menilai sendiri, sama ada prosedur mereka benar-benar zalim atau tidak, dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan.

Jangan lari dari tanggungjawab

Pihak SPRM tidak boleh lari dari tanggungjawab dengan mengatakan ia rahsia, sulit atau terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi atau ia membabitkan isu keselamatan negara. Rakyat berhak untuk tahu sama ada wang cukai mereka serta wang hasil sumber negara digunakan untuk menyiksa rakyat sendiri atau pun tidak.

Alasan untuk lari dari tanggungjawab tidak boleh diterima kerana kes ini sudah menmgakibatkan kematian, dan mangsanya adalah rakyat Malaysia, dan beliau bukan orang kena tuduh, hanya seorang saksi dalam satu kes yang dikatakan pula tidak kukuh.

Jangan beri alasan kononnya SPRM tiada rakaman video, sama ada visual atau audio semasa sesi soal siasat itu. Jika benar tiada rakaman semasa siasatan, maka jelas kaedah siasatan itu tidak profesional dan tidak mengikut piawaian antarabangsa. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

Atau, jika SPRM masih gagal mengemukakan bukti itu, maka kita sarankan kepada SPRM untuk melakonkan semula adegan itu.

Bukankah kerajaan memang suka membuat lakonan semula?
Lakukanlah, agar semua rakyat dapat lihat di mana kesilapannya dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.

Ketua SPRM serta Menteri Dalam Negeri sepatutnya meletak jawatan kerana mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, sebaliknya membiarkan kelemahan sistem sehingga menyebabkan kematian seorang insan yang tidak bersalah.

Contohnya, sebuah kapal terbang tidak akan jatuh menjunam hanya kerana satu skru tercabut, sebaliknya kapal terbang itu hanya akan terhempas apabila wujud pelbagai kelemahan dari banyak aspek, sama ada sistem teknikal, kesilapan manusia dan cuaca. Gabungan inilah yang akan mencetus malapetaka. Ini dinamakan rantaian bencana.

Maka dalam kes Teo Beng Hock, rantaian bencananya adalah sistem dan kaedah yang digunakan. Sistem ini bukan ditentukan oleh satu pihak, sebaliknya banyak pihak termasuk institusi dan individu yang bertanggungjawab.

Dengan itu, pendedahan Suruhanjaya Diraja ini jelas membuktikan bahawa wujud kecacatan, kelemahan dan kesalahan penting dalam sistem yang sedang digunakan oleh institusi ‘penting’ seperti SPRM dan polis. – Roketkini.com

Tiada ulasan: