Selasa, 26 Julai 2011

Pemuda PAS serah memo, sokong tindakan Kedah

Harakahdaily

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bagi menyokong tindakan kerajaan negeri itu berhubung larangan hiburan di bulan Ramadhan.

Penyerahan dibuat Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar yang juga ahli parlimen Jerai dan diterima Setiusaha Akhbar menteri besar Kedah, Mohd Helmi Khalid di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini.

Turut serta pada penyerahan itu Adun Bukit Lada Ahmad Izzat bin Shauki dan Ahli Parlimen PKR Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

Kandungan memorandum itu antara lain memuji tindakan kerajaan negeri Kedah yang disifatkan sebagai "langkah bijak" dalam usaha mengekang umat Islam melakukan maksiat lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan.

"Rakyat negeri Kedah akan lebih terdidik dengan program Ihya’ Ramadhan sambil ruang-ruang mungkar ditutup.

"Dengan suasana yang ada sekarang ini yang lebih membawa kearah gejala sosial, negeri Kedah menggunakan undang-undang sediakan ada bagi membendung kegiatan yang menjurus kearah maksiat.

"Sememangnya tindakan kerajaan negeri Kedah amat bertepatan dengan waktunya walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak namun sikap tegas yang ditunjukkan oleh YAB Dato’ Seri (Ustaz Azizan) amat kami hargai," kata Firdaus.

Awal Mei lalu, kerajaan negeri Kedah mengumumkan untuk menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini.

Dengan pelaksanaan enakmen itu, pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadhan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Pengendali pusat hiburan juga perlu memastikan tiada orang Islam mengunjungi premis mereka atau berdepan tindakan pembatalan lesen.

Tindakan tersebut dibuat bertujuan mencegah orang bukan Islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan.

Mengulas lanjut, Firdaus yang dihubungi Harakahdaily selepas itu berkata, tindakan kerajaan Kedah itu membuktikan bahawa kerajaan PAS telah berusaha menjalankan amal maaruf nahi mungkar di negeri itu.

"Ini juga memperkukhkan keyakinan kami bahawa betapa pentingnya memilih pemimpin yang bukan sekadar menjaga hal-hal berkaitan dunia namun ianya harus dikaitkan dengan akhirat dengan ertikata lain dunia dan akhirat ‘berjalan’ seiring bagi membentuk jati diri rakyat yang lebih mantap dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara," katanya lagi.

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau turut menyeru pihak pengurusan masjid dan surau di negeri itu memainkan peranan memperbanyakkan program hiburan Islam dan Ihya' Ramadhan bagi menarik gologan muda dari terjebak dengan gejala tidak sihat.

Tiada ulasan: