Selasa, 26 Julai 2011

TBH: DAP dakwa RCI bercanggah dengan SPRM

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: DAP hari mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kematian Teoh Beng Hock bercanggah dengan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang kecewa dengan laporan RCI yang merumuskan Teoh mati kerana membunuh diri itu berkata, laporan itu ternyata tidak konsisten dan hanya untuk memburukkan reputasi DAP.

"Saya tidak dapat menerima laporan RCI yang mengatakan Teoh mengalami konflik emosi yang keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam, putus harapan dan mengalah kepada kekecewaan kerana laporan SPRM tidak menunjukkan ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di antara saya dan Teoh," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, dekat sini hari ini.

Adun Seri Kembangan itu membangkitkan percanggahan laporan RCI yang menyifatkan bekas pembantunya itu menghadapi perubahan minda sehingga bertindak membunuh diri yang disifatkan tidak berdasarkan fakta dan bukti.

Sedangkan katanya keterangan saksi IO Ahmad Shafik Abdul Rahman jelas menunjukkan tiada sebarang bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman untuk membiayai projek kecil di kawasan beliau.

Sebaliknya DAP Serdang Aman hanya bertindak sebagai pembantu pengurusan pada ketika itu.

Namun katanya, RCI tidak mengambil kira maklumat tersebut sebaliknya mengluarkan laporan yang berbeza daripada apa yang dikatakan saksi SPRM.

"Kalau lihat testimoni bertulis oleh IO Shafiq ketika pendengaran RCI adalah senario yang bertentangan. IO Syafik memberitahu RCI bahawa siasatan menunjukkan resit adalah sama dan projek tersebut dijalankan," jelasnya.

Tambahnya, RCI tidak mencari pnca kematian sebaliknya meninggalkan lebih banyak persoalan berhubung kematian Teoh.

Sehubungan itu, naib presiden DAP, Tan Kok Wai berkata, DAP akan terus komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keuarganya dengan menganjurkan pelbagai program penerangan bermula dengan forum bertajuk "laporan siasatan suruhanjaya Teoh Beng Hock-di manakah kebenaran?" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam esok.

"DAP komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keluarganya bukan sebab dia merupakan ahli DAP tapi sebab kita mahu tuntut keadilan yang dijanjikan," kata beliau yang juga ahli Parlimen Cheras.

Keputusan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan pada Khamis lalu merumuskan Teoh membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.

Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes yang hanya membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding suruhanjaya diraja menyiasat kematiannya yang didedahkan kepada umum Khamis lalu.

Tiada ulasan: