Ahad, 3 Julai 2011

Bersih: BN tak perlu menari ikut pembangkang, kata Muhyiddin




KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak kesahihan Himpunan Bersih 2.0 sambil terus menggambarkan pergerakan itu yang menuntut pembaharuan pilihan raya sebagai alat pembangkang mahu menggulingkan kerajaan.

Kerajaan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, seminggu sebelum ia merancang mengadakan Himpunan Bersih 2.0.

“Mereka menghasut orang ramai agar pergi ke jalan untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

“Mereka tidak menghormati mandat majoriti, tetapi memilih untuk demokrasi jalan sebagai cara untuk mendapatkan kuasa,” kata beliau (gambar) ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2011 di sini hari ini.

Pengerusi Wilayah Persekutuan BN ini berkata Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini hanya satu tipu helah pembangkang sebagaimana didedahkan oleh BN.

“Mereka tahu sokongan rakyat kepada Barisan Nasional, pilihan raya yang demokratik tidak akan menjamin kemenangan mereka.

“Jadi, parti-parti komponen Barisan Nasional tidak perlu menari ikut rentak mereka,” katanya lagi.

Muhyiddin bersetuju bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada kebebasan beraman dan berhimpun dengan aman tetapi “kami tidak fikir orang ramai boleh diperdayakan.”

“Orang ramai perlu tahu hasrat sebenar mereka bukan untuk mengadakan perhimpunan aman tetapi mahu mecetuskan huru-hara dengan hasrat untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih menerusi pilihan raya demokrasi,” katanya lagi.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno memberitahu meskipun BN kalah dalam pilihan raya, parti-parti komponen tidak pernah melanggar peraturan permainan.

Tiada ulasan: