Sabtu, 23 Julai 2011

Bersih 2.0: Polis sedia jumpa Mat Sabu di mahkamah

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis tidak menghalang hasrat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dilapor mahu menyaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan dilanggar sebuah kereta polis semasa perhimpunan Berih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak boleh menghalang mana-mana pihak atau individu yang mahu menyaman PDRM termasuk oleh anggota dan pegawai polis sendiri.

“Itu hak individu, kita (PDRM) tak menghalang (saman). Kita agensi yang profesional,” kata beliau.

“Kita dah jalankan tugas kita dengan memberi penjelasan dan gambaran apa yang berlaku itu semalam (tayangan video) ... terpulang kepada mana-mana pihak untuk buat penilaian,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Ismail menghadiri majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1/2011 di sini bagi balai polis terbaik seluruh negara.

Laporan media semalam menyebut Mohamad (gambar) telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada PDRM kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal dinaikinya ketika perhimpunan 9 Julai.

Hanipa berkata, Timbalan Presiden PAS telah menghubunginya pagi semalam dan mengarahkan beliau menghantar notis kepada pihak berkenaan ekoran dakwaan polis kelmarin.

Kelmarin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dalam sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

“Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar ‘fender’ Pajero,” katanya.

Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

“Saya harap akan dapat menghantar notis kepada Bukit Aman minggu depan meminta mereka menarik balik dakwaan Mohamad Sabu menipu,” kata Hanipa.

Hanipa yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS memberitahu, Mohamad menegaskan bahawa jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnahnya.

Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.

Tiada ulasan: