Khamis, 21 Julai 2011

Anwar Tidak Terima Notis Polis, Kata Peguam

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa lain tidak pernah menerima sebarang notis daripada pihak polis untuk memberi keterangan bersabit perhimpunan aman Bersih, kata peguam Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR, menafikan laporan Berita Harian kononnya polis memohon waran tangkap terhadap Anwar, anaknya Nurul Izzah dan 11 individu lain kerana tidak hadir memberi keterangan kepada polis sejak 11 Julai lalu.

Surendran menyifatkan laporan akhbar kawalan Umno itu sebagai berniat mencalar imej Pakatan Rakyat.

"Saya boleh sahkan bahawa tidak ada apa-apa notis di bawah Kanun Acara Jenayah mahupun panggilan telefon yang diterima Datuk Seri Anwar meminta beliau agar hadirkan diri ke balai polis seperti yang dinyatakan dalam laporan Berita Harian," kata beliau.

Sehubungan dengan itu Surendren berkata, akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terhadap laporan Berita Harian itu.

"Kita menganggap laporan ini berniat buruk dan sengaja untuk memburukkan pihak pembangkang. Saya percaya daripada senarai 13 orang itu saya boleh pastikan Sivarasa, Datuk Samad Said, Nurul Izzah dan Lathefah Koya tidak menerima notis," tambah beliau.

Antara nama lain yang turut tersenarai termasuk ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, bekas speaker Perak V Sivakumar, ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat dan Haris Ibrahim dan pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin.

Antara lain laporan itu menyebut polis Kuala Lumpur telah menghantar laporan ke ibu pejabat polis Bukit Aman menamakan 13 individu yang gagal menghadirkan diri untuk membantu siasatan berkaitan perhimpunan Bersih 2.0.

Malah, polis turut membuat permohonan waran tangkap kepada kesemua individu terbabit.
Perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu menyaksikan hampir 1,700 orang penyokong ditangkap.

Seorang meninggal dunia manakala Anwar, pegawal peribadinya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu adalah antara mereka yang tercedera akibat asakan polis.

Tiada ulasan: