Rabu, 18 Mei 2011

Guan Eng: Anwar akan kekal ketua pembangkang selagi MP

TERKINI

KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen jikapun dipenjarakan atas tuduhan liwat kelak.

Lim berkata kepimpinan Pakatan Rakyat bersetuju agar Anwar terus memegang jawatan itu “selagi beliau masih Ahli Parlimen” dan sehingga tiada lagi ruang penyelesaian dari segi undang-undang.

“Selagi beliau (Anwar) masih Ahli Parlimen, beliau tidak akan digantikan,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Festival George Town 2011 di sini.

Lim (gambar) menegaskan walaupun Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat, Ketua Umum PKR itu masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan.

“Beliau tidak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya kerana beliau dipenjarakan. Sama seperti saya ketika saya dipenjarakan, saya masih Ahli Parlimen. Saya masih Ahli Parlimen sehingga rayuan saya diterima.

“Jadi jika anda akan dipenjarakan, anda boleh mengemukakan rayuan dan meminta agar diberi pengampunan. Saya telah menjadi Ahli Parlimen selama enam hingga sembilan bulan sehingga permohonan diberi pengampunan diterima,” katanya.

Lim juga berkata perkara itu telah dipersetujui dalam kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

“Anda boleh mempercayai saya. Ia juga dari semua pemimpin Pakatan Rakyat... saya boleh umumkan... saya boleh katakan. Perkara lain saya tidak boleh,” katanya.

Lim bagaimanapun menolak daripada menjawab sama ada Pakatan Rakyat mempunyai apa-apa rancangan andaikata Anwar gagal rayuan.

“Kami akan umumkan bila tiba masanya,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan Pakatan Rakyat akan tetap bersama walaupun Anwar dipenjarakan.

“Kami tidak akan berpecah. Tidak kira sama ada ia positif atau negatif,” katanya.

Apa sahaja khabar angin mengenai perpecahan Pakatan Rakyat, kata Lim, ia akan dipromosikan akhbar yang dimiliki Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat teguh dan kami akan teruskan perjuangan untuk membawa perubahan Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Anwar diperintah membela diri atas dakwaan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.

Pada 7 Ogos 2008 Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan liwat bertentangan dengan peraturan alami di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10ptg dan 4.30ptg 26 Jun 2008.

Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Ini merupakan tuduhan liwat kedua Anwar hadapi. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar.

Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

Tiada ulasan: