THE MALAYSIAN INSIDER
Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen memutuskan demikian selepas mempertimbangkan permohonan peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah hari ini.
Beliau turut mengarahkan supaya perkataan-perkataan tersebut diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia oleh dua penterjemah mahkamah yang berkelayakan.
Nota kontoversial itu, yang diketengahkan sebagai bukti hampir setahun selepas kematian Teoh, mempunyai satu bahagian yang telah dipadamkan dengan pen.
Shafee memberitahu suruhanjaya bahawa langkah itu penting untuk menentukan keadaan mental penulis.
“Jika sesungguhnya ia adalah Teoh Beng Hock, maka ia akan menunjukkan bahawa dia berfikir beberapa minit sebelum kematian,” kata beliau.
Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, Shafee membuat permohonan itu pada 11 Mei lepas dan prosiding tergempar hari ini dijalankan untuk mendengar permohonan itu secara terbuka.
Prosiding suruhanjaya selesai pada 10 Mei lalu setelah mendengar keterangan 70 saksi.
Shafee pula dipetik berkata, analisis semula itu perlu dilakukan bagi menentukan keadaan minda Teoh sebelum mati dan apa perkataan yang telah dipadamkannya.
“Siapa jua yang memadamkan perkataan di bawahnya mestilah orang yang sama yang menulis nota itu. Perkataan yang dipadamkan akan membantu dalam membuat interpretasi.
“Saya meminta ahli kimia supaya memeriksa semula nota dan mendapatkan semula perkataan yang dibatalkan itu,” katanya.
Nota itu dijumpai dalam beg sandang Teoh dan telah dianalisis pertama kali di Jabatan Kimia ketika prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam.
Analisis itu mengesahkan bahawa tulisan tangan pada nota itu milik Teoh.
Pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober 2009 iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.
Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan