KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah kompleks sukan yang turut memuatkan beberapa ruang solat bagi membolehkan penonton menunaikan tanggungawabjawab.
Menurut Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kompleks sukan itu akan dibina di Bukit Merbau, Pasir Putih.
Selain membina kompleks sukan yang akan memuatkan sebuah stadium utama, jelas Nik Aziz (gambar) ia turut memuatkan ruang solat di beberapa bahagian stadium bagi memastikan penonton tidak lupa tanggungjawab masing-masing.
The Malaysian Insider difahamkan ketika perlawanan bola sepak yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, rata-rata penonton yang menyaksikan perlawanan itu menunaikan solat di pekarangan stadium serta di tempat duduk penonton.
“Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanah air di mana kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.
“Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, selain itu kita juga berhasrat agar stadium yang dibina turut memuatkan ruang solat di merata-rata bahagian bagi membolehkan penonton menunaikan solat dengan mudah dalam stadium,” kata Nik Aziz dalam satu kenyataan.
Jelas Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, pentadbiran negeri pimpinannya tidak akan melupakan tanggungjawab terhadap tuntutan agama dan berharap penonton juga sentiasa begitu.
“Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh membangun bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Tambah beliau, reka bentuk kompleks sukan itu akan ditentukan oleh arkitek yang akan dilantik nanti.
“Reka bentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti.
“Cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas tiga dasar iaitu bina, operasi dan pindah atau BOT.
“Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan