Sabtu, 12 Februari 2011

Menteri tak tunai janji, peniaga Brickfields jumpa Nurul Izzah

Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR: Majlis Perniagaan Brickfields (BBC) hari ini mengadu kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berikutan janji kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) berkaitan peniaga kecil, tidak ditunaikan.

Setiausaha BBC, A Karuppiah berkata, Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, M Saravanan pada Mei tahun lalu berjanji mempertingkat kebajikan peniaga.

Katanya, peniaga dijanjikan kawalan keselamatan, penyediaan tempat letak kereta, keselamatan trafik kepada pelajar, lampu isyarat di setiap persimpangan jalan dan penyelenggaraan kebersihan.

“Kami masih ingat lagi, di restoran inilah tempat Saravanan berjanji tapi gagal menunaikannya,” kata Karuppiah yang tiba-tiba mendatangi sidang media Nurul Izzah berkaitan isu tempat letak kenderaan.

Turut hadir ialah 10 ahli BBC yang turut merancang untuk menutup kedai selama sehari dan mengadakan demontrasi jika kerajaan Umno BN terus gagal menunaikan janji.

Mengulas hal itu, Nurul Izzah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu melibatkan wakil penduduk dari seluruh Kuala Lumpur untuk merangka polisi dan dasar pembangunan.

“Kami menuntut agar setiap ‘blueprint’ dari pihak berkuasa yang melibatkan mana-mana kawasan pembangunan di Kuala Lumpur, perlu juga dimaklumkan kepada kami.

“Ini melibatkan kesan jangka panjang kepada penduduk. Contohnya, masalah peniaga Brickfields ini akibat halangan dari Kementerian untuk membolehkan kita mengakses maklumat di kementerian dan DBKL,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah kesalan berikutan polis dan penguatkuasa DBKL engeluarkan saman terhadap kenderaan di bahu jalan sedangkan kenderaan itu dimiliki pemilik premis.

“Sehingga kini, masalah tempat letak kereta tidak diselesaikan. Dalam masa sama, pihak berkuasa terus mengeluarkan saman,” katanya.

Tiada ulasan: